Sudah genap tiga tahun sejak pelakon Oktovia Manrose mula berhijrah dan menutup aurat. Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman, 33, sentiasa berdoa agar diberi kekuatan untuk kekal istiqamah dalam perubahannya.
Walaupun ada kalanya perlu memaksa diri untuk mendirikan solat dan mendengar ceramah agama, Oktovia percaya niat yang ikhlas untuk berubah ke jalan Allah SWT akan sentiasa dipermudahkan.
"Tahun ini genap tiga tahun dalam perjalanan hijrah untuk kekal istiqamah. Memang tidak mudah. Tapi insya-Allah dengan niat ikhlas untuk berubah itu Allah beri kekuatan dan kefahaman. Allah beri panduan," kata Oktovia.
Oktovia berkongsi cerita ini melalui satu hantaran di Instagram pada hari Isnin. Dia turut berkongsi bahawa ceramah Ustaz Wadi Annuar menjadi asbab penghijrahannya. Ceramah tersebut membuka hatinya untuk terus berubah.
"Topik ceramah ustaz semalam ialah mengenai hubungan suami isteri dan bagaimana kita nak kuatkan hubungan rumah tangga. Aura ustaz tak pernah berubah, ceramah ustaz mesti akan memberi kesan yang mendalam. Sama seperti pertama kali saya mendengar ceramah ustaz pada 2020. Dari situlah asbabnya kenapa diri ini boleh betekad nak berubah dan berhijrah. Masya-Allah Alhamdulillah. Perjalanan yang indah," katanya lagi.
Pelakon drama Bila Cupid Jatuh Cinta ini bersyukur kerana diberikan hidayah untuk menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.
"Ya Allah terima kasih atas kekuatan ini. Doaku berharap semua keluarga seIslamku diberikan kemudahan dan kefahaman dalam menerima hidayah Allah. Semoga Allah kekalkan diri kita istiqamah dan kita semua mendapat pengakhiran khusnul khotimah. Amin," doa Oktovia.
Pada Mei 2021, Oktovia membuat keputusan untuk berhijab dan sejak itu dia lebih berhati-hati dalam memilih watak lakonan. Namun, dia mengakui masih ada produksi yang memintanya menanggalkan tudung sebagai syarat berlakon dalam drama mereka.
Jom Kongsi Artikel Ini!
Terinspirasi dengan kisah penghijrahan Oktovia Manrose? Jangan lupa kongsi artikel ini dengan kawan-kawan anda supaya mereka juga dapat menikmati cerita yang penuh dengan kekuatan dan keikhlasan ini. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk terus berubah ke arah kebaikan.