PERSONALITI media sosial, Misya Mazlan, mengaku tidak akan berhubung dengan suaminya ketika giliran bersama madunya, Marissa Dania. Misya, atau nama sebenarnya Umisya Mazlan, 25 tahun, hanya akan menghubungi suaminya, Ahmad Aslam, jika ada urusan penting. Jika tiada sebarang urusan, Misya lebih selesa mengambil sikap tidak peduli kerana bimbang Aslam berasa rimas.
"Giliran sana (Marissa) atau giliran sini, abaikan sahaja. Lelaki ini cepat rimas. Kalau saya tidak mahu berfikir yang bukan-bukan, saya tidak akan hubungi Aslam. Itu tip saya, tidak hubungi atau tengok apa-apa. Abaikan. Tapi sekiranya saya nak keluar, saya beritahu. Kalau tak, memang saya tak hubunginya sebab tak suka kalau telefon nanti saya rasa macam nak tanya bukan-bukan," kata Misya.
Misya berkongsi perkara ini ketika melakukan siaran langsung menerusi TikTok miliknya. Menerusi rakaman video yang dimuat naik semula, Misya dilihat membaca komen netizen yang sering kali menyebut nama Marissa dalam sesi siaran langsung itu.
Misya mengambil tindakan untuk tidak selalu berhubung dengan suami untuk menjaga emosi. Dia juga berasa kurang senang apabila sering dibandingkan dengan Marissa dan sedar akan kesan yang perlu diambil ketika bersetuju hidup berpoligami.
"Untuk mengelakkan emosi dan pergaduhan, tak perlu tanya. Tip untuk mengawal emosi bila mana kita memilih untuk stay, jadi kita kena terimalah kesan dan akibatnya. Tapi tengok keadaan jugalah, setakat ini tidak ada yang mengalah. Buat apa saya nak mengalah. Kita buat tak tahu, abaikan, abaikan dan abaikan. Saya pun tidak tahu kenapa perlu membanding-bandingkan sebab saya adalah saya dan dia adalah dia. Tak perlu nak bandingkan kami," ujar Misya.
Misya bagaimanapun terbuka untuk berkongsi pengalaman dan tip untuk hidup bermadu namun mengingatkan netizen supaya tidak menyebut nama mana-mana individu kerana bimbang berlakunya perselisihan faham.
"Sebenarnya orang tidak faham poligami sebab itu mereka tanya saya kerana saya pernah mengalaminya. Nak tanya fasal poligami boleh tapi janganlah sebut nama-nama orang yang tak berkenaan atau pun menimbulkan pergaduhan," katanya.
Pada 7 Februari lalu, nama Misya dan Aslam menjadi bualan ramai apabila lelaki itu didakwa bernikah dengan anak kepada pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi iaitu Marissa Dania. Aslam dan Marissa didakwa bernikah di Songkhla, Thailand ketika Misya sedang mengerjakan umrah di Makkah pada 27 Disember tahun lalu.
Untuk rekod, Misya dan Aslam mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Hud, 3 tahun, dan Nuh, 2 tahun.
Kongsi Artikel Ini!
Jika anda rasa artikel ini menarik dan bermanfaat, jangan lupa untuk kongsikan dengan kawan-kawan anda! Tekan butang kongsi di bawah dan sebarkan kisah ini kepada mereka yang mungkin ingin mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan Misya.
Kongsi Sekarang