Giveaway: SUBSCRIBE saluran youtube kami untuk berpeluang memenangi iPhone 17 Pro

Remy Ishak Tegur Pelakon Tempatan: “Kalau Nak Popular, Jangan Masuk Industri!”

 


Baru-baru ini, Datuk Remy Ishak meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pelakon tempatan yang kurang serius dalam menghayati watak dan tanggungjawab sebagai anak seni. Kalau anda peminat industri hiburan, ini kata-kata Remy yang memang kena pada masa sekarang!


Menurut Remy, ramai pelakon kini tidak benar-benar bersedia untuk membawa karakter yang diberikan, malah ada yang seakan-akan hilang arah dan tujuan sebenar bila memilih kerjaya dalam bidang lakonan.


“Susah nak jumpa yang betul-betul dah. Maaf cakap, kalau nak terasa, silakan. Saya dah jumpa ramai yang belum bersedia dengan karakter yang mereka nak bawa,” kata Remy ketika ditemui pada majlis pengumuman barisan pelakon filem Khadam di Kuala Lumpur.


Remy menegaskan, kalau betul-betul minat untuk berlakon, pastikan serius dengan kerjaya ini. Kalau setakat nak popular, lebih baik layan media sosial sahaja. “Tak perlu masuk bidang ini,” tegasnya.


Biarpun bukan berasal dari latar belakang akademik filem, Remy tetap menitikberatkan soal disiplin dan tanggungjawab.


“Saya sendiri pun asalnya bukan lepasan sekolah filem. Tapi bila nak buat sesuatu benda, kita kena bertanggungjawab. Kebanyakan yang ada sekarang pun tak tahu apa yang mereka nak kejar. Misi mereka dah tak sama dengan pelakon seangkatan saya,” tambahnya.


Selain itu, Remy juga memuji persediaan pelakon dari Indonesia, Aghniny Haque, yang turut membintangi filem Khadam. Dari sesi pembacaan skrip lagi, Aghniny telah menunjukkan komitmen luar biasa.


“Masa kita baca skrip, kita akan ada imaginasi terhadap karakter yang dibawakan. Jadi bila tiba gilirannya, saya boleh rasa lakonan dia,” ujar Remy.


Filem Khadam yang diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions turut menampilkan pelakon-pelakon hebat lain seperti Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl’ El, dan Jun Lojong. Filem ini bakal memulakan penggambaran pertengahan bulan ini dan diarahkan oleh Shamyl Othman dengan skrip oleh Fariza Azlina Isahak.


Khadam mengisahkan Melor, seorang ibu yang terpaksa mewarisi saka keluarga selepas kematian ibunya. Saka ini mula menguasai hidupnya, dan Melor berusaha menyelamatkan anak perempuannya daripada entiti hitam tersebut.


Bukan sekadar filem biasa, Khadam adalah penerokaan emosi mendalam tentang cabaran seorang ibu dan pilihan hidup seorang wanita yang dibayangi mitos serta budaya Asia Tenggara. Filem ini dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara dan beberapa pasaran serantau tahun depan.


Kalau anda nak ikut perkembangan Remy Ishak dan filem Khadam, jangan lupa share artikel ini dengan kawan-kawan dan bersedia untuk menyaksikan lakonan penuh emosi yang bakal mencuri hati semua! 💥

Previous Post Next Post

Contact Form