Kehilangan orang tersayang memang sukar diterima, tapi bagi Marshanda, tragedi ini hampir menjejaskan seluruh hidupnya. Penyanyi dan pelakon kesayangan ramai ini berkongsi pengalamannya selepas tunangnya meninggal dunia dua tahun lalu, satu peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam buat dirinya.
Bukan sekadar bersedih, Marshanda, 36 tahun, mengaku pernah berfikir untuk menghilangkan diri. Lebih mengejutkan, dia juga pernah terfikir untuk menjual akaun Instagram peribadinya yang sudah mempunyai lebih 7 juta pengikut!
“Saya sampai hantar mesej siaran WhatsApp kepada Luna Maya dan beberapa rakan artis, beritahu saya nak jual Instagram saya dengan harga tak masuk akal, asalkan terjual,” katanya.
Tujuan Marshanda? Nak hilangkan semua perhatian dan identiti sebagai Marshanda yang selama ini orang kenal. Pada waktu itu, dia rasa dunia terlalu berat dan mahu lari daripada semua benda, termasuk dunia seni yang selama ini menjadi sebahagian hidupnya.
Tunangnya, dikenali sebagai B, meninggal dunia secara tragis selepas terjatuh dari balkoni sebuah apartmen di Jakarta. Laporan autopsi mengesahkan B mengalami serangan jantung sebelum terjatuh, satu kehilangan yang mengejutkan dan menyayat hati.
Walaupun diuji dengan kehilangan besar, Marshanda terus bangkit, mencari semula dirinya dan fokus pada masa depan yang lebih baik. Kisahnya adalah satu inspirasi bahawa walaupun hidup penuh ujian, kita masih mampu menemui cahaya di hujung terowong.