Siapa sangka di sebalik senyuman di kaca TV, pelakon Baim Wong melalui detik paling sukar dalam hidupnya. Dalam sebuah temu bual eksklusif di podcast YouTube milik Denny Sumargo, Baim, 44 tahun, akhirnya membuka hati mengenai penyesalan terbesarnya selepas berpisah dengan Paula Verhoeven.
Baim mendedahkan, tekanan daripada konflik rumah tangganya bukan sahaja menjejaskan dirinya, malah turut memberi kesan kepada kesihatan bapanya, Johnny Djaelani, sebelum ayahnya meninggal dunia akibat tumor pankreas pada 7 Januari lalu.
"Saya belum sempat selesaikan semua masalah untuk tunjukkan kepada ayah bahawa saya baik-baik sahaja. Tapi belum sempat, dia sudah tiada," luah Baim dengan nada sebak.
Baim turut berkongsi, ayahnya selalu mengikuti perkembangan isu yang melibatkan dirinya, termasuk kisah rumah tangga bersama Paula. "Waktu tengah heboh, ayah selalu tengok berita. Dia ikuti semuanya," katanya.
Bagi Baim, apa yang berlaku ini adalah detik paling sukar dalam hidupnya. Ujian demi ujian silih berganti sehingga menjejaskan kehidupannya secara menyeluruh.
Namun, Baim tidak keseorangan. Dia bersyukur kerana masih dikelilingi individu yang sentiasa memberi semangat, termasuk golongan agamawan yang menghubunginya melalui WhatsApp untuk memberi kata-kata positif.
"Itulah titik paling rendah dalam hidup saya. Tapi saya bersyukur ramai ustaz yang WhatsApp saya. Mereka bagi kata-kata semangat," tambahnya.
Untuk rekod, Baim dan Paula sah bercerai talak satu pada 16 April lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Kiano, 3 tahun, dan Kenzo, 2 tahun.
Meski kisah perceraian ini penuh liku, Baim terus kuat demi anak-anaknya dan semangat untuk hidup yang lebih positif.
