Raffi Ahmad, pelakon dan pengacara terkenal, baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila menerima ijazah doktor kehormat dari Universiti Institute Professional Management (UIPM) di Thailand. Namun, berita ini tidak datang tanpa kontroversi. Netizen mula siasat dan mendapati bahawa alamat universiti yang dinyatakan tidak wujud!
Menurut laporan Kompas, seorang warganegara Indonesia yang menetap di Bangkok cuba menjejaki UIPM di alamat Vibharadi-Rangsit 64 Yeak 3, tetapi apa yang ditemui hanyalah sebuah hotel. "Saya sampai masuk ke bangunan itu dan bertanyakan kepada penyambut tetamu tentang kebenaran alamat universiti itu di laman web UIPM. Ternyata bukan kampus," tulisnya dalam ciapan di laman X.
Hal ini menimbulkan pelbagai spekulasi. UIPM dilaporkan mempunyai tiga lagi cawangan di Rusia, Amerika Syarikat, dan Indonesia. Niar Ibrahim Rose, pengguna X yang aktif, juga ingin mendapatkan kepastian daripada Raffi tentang lokasi sebenar kampus tersebut. "Jadi sebenarnya pejabat kampus UIPM ini ada di Bangkok, Bekasi, Rusia atau Amerika ya Raffi?" tanyanya.
Lebih menguatkan lagi kontroversi ini, netizen lain turut melakukan carian di peta untuk alamat UIPM di Amerika Syarikat. Malangnya, sama seperti di Thailand, alamat tersebut menunjukkan kawasan kediaman dan bukannya kampus universiti. "Kalau di Amerika dilihat dalam peta cuma ada rumah orang, tak ada pun nama UIPM tertera di peta. Ada yang boleh jelaskan perkara ini," tulis seorang lagi netizen.
Di sebalik segala keraguan ini, Raffi tetap berbangga dengan pencapaiannya. Beliau menerima gelaran tersebut dari Profesor Kanoksak Likitpriwan, Presiden UIPM di Thailand, sebagai pengiktirafan terhadap penglibatannya selama 23 tahun dalam industri hiburan.
Apa pendapat anda tentang situasi ini? Adakah anda percaya dengan ijazah tersebut atau merasakan ada sesuatu yang tidak kena? Jangan lupa kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan anda untuk mengetahui pendapat mereka!