Pelakon Hafidz Roshdi meminta bekas isterinya, Nurul Shuhada, untuk memberikan bukti atas tuduhan mengatakan dia menyebarkan dokumen mahkamah berkaitan kes mereka di media sosial.
Menurut Hafidz, tuduhan yang dibuat oleh Shuhada itu adalah palsu dan dia sama sekali tidak pernah terfikir untuk melakukan perkara tersebut.
"Saya minta Shuhada kemukakan bukti saya sebarkan dokumen mahkamah. Jangan reka-reka cerita, jangan tuduh dan fitnah saya. Saya mahu dia kemukakan bukti. Mana buktinya?" kata Hafidz ketika dihubungi kami pada Rabu.
Dia juga menegaskan bahawa tuduhan yang mengatakan dia mengakui menyebarkan dokumen mahkamah dan diminta oleh pihak polis untuk menurunkan hantaran berkaitan adalah palsu. Jelasnya, pihak polis hanya meminta dia menurunkan hantaran yang dibuatnya pada Rabu.
"Benda itu sebenarnya tiada pengakuan pun. Saya tidak mengaku pun (kepada polis) saya sebarkan. Polis telefon adalah untuk turunkan semua benda mengenai dia sahaja. Contohnya yang saya muat naik fasal ceramah Ustaz Azhar, pasal jangan sebarkan aib. Itu sahaja yang saya padam," ujarnya.
Hafidz turut meluahkan bahawa tindakan Shuhada melakukan pelbagai dakwaan berkenaan dirinya adalah sabotaj dan cara menutup periuk nasinya.
"Saya rasa dia buat itu untuk tutup periuk nasi. Benda ini berlaku bila saya beritahu media yang saya sudah dapat tawaran berlakon. Dan kemudian esoknya dia keluarkan cerita fasal saya. Saya rasa pendedahan ini adalah sabotaj dan cara untuk menjatuhkan saya," ujarnya.
Dalam masa sama, Hafidz berkata dia juga sudah membuat satu laporan polis supaya bekas isterinya itu tidak terus menyebarkan fitnah terhadapnya. Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada pagi Rabu.
Shuhada atau Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, tampil membuat laporan polis selepas mendakwa aktor berkenaan mendedahkan dokumen mahkamah berkaitan kes mereka di media sosial. Menurut Shuhada, dia mengambil tindakan itu susulan perkongsian tersebut turut membabitkan maruah keluarga yang tidak sepatutnya dikongsi kepada umum.
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila Hafidz dan Shuhada saling berbalas kenyataan termasuk isu nafkah anak yang dikatakan tidak berjalan secara baik. Malah, Shuhada juga secara terbuka mendedahkan perbualan lucah antara Hafidz dengan seorang wanita di Instagram miliknya.
Shuhada juga memberi amaran kepada Hafidz agar tidak mengulangi perbuatan tersebut dan terus menyelesaikan isu antara mereka hanya di mahkamah.
Jangan lupa untuk kongsi artikel ini dengan kawan-kawan anda! Mari kita sebarkan kebenaran dan sokong antara satu sama lain!