"Rakan Artis Hati-hati, Ini Bukan Kerajaan Yang Makan Ampu Dan Jilat" - Ito

Vokalis kumpulan Blues Gang, Ito, meminta rakan-rakan artis supaya bersikap lebih berhati-hati bagi mengelakkan mereka tersalah langkah atau dipergunakan oleh mana-mana pihak.

Menurut sebuah portal berita, Ito atau nama sebenarnya Mohd. Arif Kendut, 67 berkata, dalam keadaan semasa kini dia menjangkakan bakal banyak 'ulat' akan muncul untuk menonjolkan diri kononnya pejuang seni yang sealiran dengan kerajaan.

"Mereka yang selama ini menjadi parasit dalam industri seni akan tampil dalam tempoh terdekat walaupun baru sehari dua lalu mereka adalah menentang kuat Pakatan Harapan," kata pelantun lagu Sakit Sakit Sakit ini.

Menerusi keputusan PRU14 yang lalu, Pakatan Harapan (HARAPAN) membentuk kerajaan selepas berjaya memperoleh kerusi majoriti di Dewan Rakyat hasil pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Ia adalah kejayaan pertama pakatan pembangkang mengetepikan dominasi BN sejak ia ditubuhkan. Dengan kejayaan itu Putrajaya menyaksikan kemunculan semula Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Walaupun begitu dari konteks demokrasi Ito berkata, dia bersikap terbuka dan terserah kepada mana-mana pertubuhan atau individu yang mahu berjumpa perdana menteri atau menteri.

Cuma katanya pihak yang berkenaan perlu sedar kerajaan hari ini berbeza daripada kerajan yang dulu.

"Ini bukanlah kerajaan yang makan ampu dan jilat seperti yang sebelum ini," katanya.

"Jika mahu datang, datanglah dengan pendirian yang jelas dan rekod pencapaian yang cemerlang dari segi sumbangan terhadap industri," katanya.

Difahamkan kenyataan itu juga dibuat ekoran perkembangan semasa yang menampakkan ada pihak yang cuba mengadakan himpunan penggiat seni tidak lama lagi.

Menggunakan nama Pakatan Harapan penganjur kononnya mengajak artis tanah air bertemu bagi membicangkan masa depan seni hiburan negara.

Kata Ito bagaimanapun berpendapat dengan pembentukan kerajaan baru ini penggiat seni mempunyai peluang untuk membangunkan kembali bidang seni tanah air, terutamanya muzik yang agak malap selama ini.

"Tambahan pula perdana menteri belum membuat sebarang pelantikan menteri yang bertanggungjawab mengendalikan bidang seni dan penyiaran. Harap mereka boleh bersabar," katanya.

"Rakan Artis Hati-hati, Ini Bukan Kerajaan Yang Makan Ampu Dan Jilat" - Ito "Rakan Artis Hati-hati, Ini Bukan Kerajaan Yang Makan Ampu Dan Jilat" - Ito Reviewed by Kakigosip on 13:53:00 Rating: 5
Powered by Blogger.