Hairi Safwan dedah produksi pilih kroni

NAMA Hairi Safwan bukanlah asing lagi dalam dunia pementasan teater, malah pelakon asal Perlis ini telah aktif sebagai pelakon pentas semenjak tahun 2009 lagi.

Biarpun sudah dianggap sebagai pelakon yang berpengalaman, Hairi tidak keberatan untuk menghadiri sesi uji bakat jika ada keperluan untuknya berbuat sedemikian.


Terbaru, pemilihannya sebagai teraju utama Bangsawan Dendam Laksamana, arahan Pat Ibrahim yang bakal dipentaskan semula di Kuala Lumpur dan beberapa lokasi terpilih di seluruh negara selepas Aidilfitri nanti dilakukan menerusi proses terbabit.

“Ketika pementasan naskhah ini pada tahun lalu, saya merupakan antara yang menonton dan jujurnya merasa sangat tertarik dengan kelainan dan segala apa yang dipersembahkan oleh produksi ini.

“Jadi apabila mereka memanggil saya untuk menyertai proses uji bakat pementasan semula bangsawan ini, saya terus setuju dan tidak kisah untuk melalui proses tersebut biarpun sebelum ini sudah terlibat dalam puluhan pementasan.

“Dalam sesi itu saya diminta untuk bersilat, menyanyi, bermain seruling dan tentunya menunjukkan kemahiran lakonan sebelum akhirnya dipilih untuk memegang watak utama sebagai Laksamana Megat Seri Rama yang sebelum ini dilakonkan Pekin Ibrahim,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut Hairi, hanya uji bakat yang diyakini telus dan profesional sahaja yang akan dihadirinya kerana pernah berdepan pengalaman yang tidak menyeronokkan sebelum ini.

“Kalau diikutkan, lama juga saya tak hadir ke sesi uji bakat. Bukan saya tak mahu pergi kerana rasa diri dah bagus, tetapi kebanyakan produksi terbabit suka memilih kroni.

“Kita susah payah datang uji bakat dan buat bersungguh-sungguh, tapi tak dipandang kerana mereka sudah ada pilihan sendiri.

“Benda-benda yang memberikan harapan palsu seperti itulah membuatkan saya jarang nak pergi uji bakat,” luah Hairi yang bakatnya mula dicungkil menerusi program realiti TV Anak Wayang bersama Dayana Roza sebelum ini.

Selain dikenali di pentas teater baik sebagai pelakon mahupun pengarah, Hairi juga aktif berlakon filem dan drama TV.

Meskipun populariti belum menyebelahinya secara total, Hairi sudah berpuas hati dengan tawaran lakonan yang tidak pernah putus datang untuknya.

“Kalau bab populariti ni, susah sikitlah saya nak cakap. Mungkin tak ramai sangat yang kenal saya kerana kebanyakan mereka hanya kenal pelakon yang muncul dalam drama slot pukul 7.00 dan 10.00 malam saja.

“Jadi pelakon macam saya yang selalu muncul pada waktu-waktu lain ni, mungkin orang tak perasan sangatlah kot.

“Apa pun saya OK sahaja kerana bagi saya apa yang lebih penting, kita dah buat kerja kita dengan sebaik yang mungkin dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan  dengan cara yang sepatutnya,” tegasnya.

Berkongsi tentang perkembangan terbaharunya selain persediaan Bangsawan Dendam Laksamana ini, kata Hairi, dia kini sibuk di lokasi penggambaran beberapa buah drama.

“Saya baru saja selesai penggambaran filem terbaharu lakonan saya, Operasi X, dan kini fokus pada drama sebelum masuk ke latihan teater bangsawan nanti.

“Alhamduillah, pada tahun ini banyak peluang-peluang baharu yang saya perolehi termasuklah peluang menjayakan sebuah filem pendek di Singapura dan beberapa projek lain.

“Kalau ada rezeki, insya-ALLAH tahun ini juga saya merancang untuk menyambung pengajian (Jarak Jauh) peringkat Sarjana di Aswara dalam bidang lakonan,” akhirnya.
Hairi Safwan dedah produksi pilih kroni Hairi Safwan dedah produksi pilih kroni Reviewed by Kakigosip on 13:32:00 Rating: 5
Powered by Blogger.