Che Ta Rindu Pengalaman Puasa di Mekah

Pernah dua kali merasai pengalaman menunaikan umrah ketika Ramadan membuatkan hati selebriti jelita Rozita Che Wan @ Che Ta ingin kembali ke Tanah Suci pada bulan mulia ini.

Bagaimanapun disebabkan kepadatan jadual kerja, perancangan tersebut tidak dapat dilaksanakan pada Ramadan tahun ini.

"Ikutkan hati memang teringin buat kali ketiga berpuasa di Mekah. Saya ada menyuarakan hasrat untuk menunaikan umrah pada penghujung Ramadan kepada Zain.

"Namun, melihat jadual kerja yang begitu padat memang tidak sempat untuk ke Mekah. Saya bimbang kami pergi dalam keadaan kelam-kabut. Jadi, lebih baik sambut Ramadan sepenuhnya di Malaysia sahaja,” kata Che Ta seperti yang dilaporkan Kosmo!

Tambah isteri kepada pelakon Zain Saidin ini, pengalaman berpuasa di Mekah begitu manis dan nikmat buatnya sehingga terbit rasa rindu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Berbeza dengan Malaysia nikmat Ramadan sering digambarkan dengan kemeriahan berbuka puasa, sebaliknya di Mekah hanya dengan sebiji kurma dan secawan air zam zam nikmat yang dirasai cukup luar biasa.

"Di Mekah lagi 30 minit hendak berbuka puasa orang ramai sudah duduk bersila dari dalam Masjidil Haram sehingga ke luar. Walaupun berbuka hanya dengan beberapa biji kurma dan air zam zam termasuk roti yang disedekahkan nikmatnya terlalu indah.

"Berbeza dengan Malaysia, selagi tidak penuh makanan di atas meja tidak rasa nikmat. Di sana fokus hanya kepada ibadah, perkara lain semua tidak difikirkan, saya memang cukup seronok tetapi tahun ini tiada rezeki untuk ulang kembali pengalaman tersebut,” ujarnya.

Che Ta Rindu Pengalaman Puasa di Mekah Che Ta Rindu Pengalaman Puasa di Mekah Reviewed by Kakigosip on 17:09:00 Rating: 5
Powered by Blogger.