Aqish Cuti Berlakon Kerana Jalani Rawatan Masalah Jantung

Agak lama tidak muncul menerusi lakonan, rupa-rupanya bintang berbakat besar Puteri Balqis Azizi atau Aqish kini sedang menjalani rawatan kerana mengalami masalah jantung.

Menerusi laporan BH online, ibu kepada Aqish iaitu Norashikin Mohd Aziz memberitahu, perkara itu dimaklumkan doktor selepas pelakon berusia 11 tahun itu melalui siri pemeriksaan kesihatan menyeluruh sejak Disember lalu.

Kesihatan Aqish mula terganggu apabila dia sering cepat letih dan mengalami demam berulang. Lebih teruk apabila Aqish pengsan dan muntah darah hampir setiap hari.

Menurut Norashikin, sejak awal tahun lagi, hospital sudah menjadi rumah kedua Aqish disebabkan dia perlu menjalani ujian dan pemeriksaan bagi mengesan sakitnya. Kini Aqish dinasihatkan berehat di rumah secukupnya.

"Kami masih berulang alik ke hospital. Alhamdulillah, sudah nampak perbezaan berbanding beberapa minggu lalu. Malah, Aqish sudah lama kami rehatkan daripada berlakon.

"Sebenarnya, dari dulu lagi, kami hanya terima tawaran yang Aqish mahu saja. Ini kerana dia ada komitmen terhadap pelajaran selain menghadiri kelas piano dan masakan," katanya.

Norashikin berkata, ketika ini, Aqish mengisi masa dengan berenang dan menghadiri kelas disukainya.

"Sesi belajar dan berlakon kami rehatkan dulu walaupun sesekali dia merengek rindu hendak pergi ke set," katanya sambil menambah selama ini anaknya itu jarang demam sebaliknya aktif biarpun mengalami masalah asma sejak kecil.
Aqish Cuti Berlakon Kerana Jalani Rawatan Masalah Jantung Aqish Cuti Berlakon Kerana Jalani Rawatan Masalah Jantung Reviewed by Kakigosip on 13:47:00 Rating: 5
Powered by Blogger.