Uqasha Sekadar Bertanya, Netizen Yang Salah Faham

Aktres Uqasha Senrose tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap seorang penulis novel yang didakwa menggunakan nama dan ilustrasi gambar mirip dirinya sebagai penghias kulit sebuah novel terbaharu di pasaran, baru-baru ini.

Menurut pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu dia sudah pun bertemu dengan penulis tersebut dan mendapatkan penjelasan daripada pihak berkenaan.

"Saya sudah bertemu dengan penulis tersebut dan dia sendiri mengaku memang sukakan nama Uqasha. Untuk lakaran wajah pada kulit novel pula, penulis menjelaskan ia diinspirasikan daripada wajah anak patung. Pihak penerbitan novel itu juga sudah menjelaskan perkara sebenar, jadi okeylah,"

"Kalau boleh saya tidak mahu memanjangkan lagi isu ini dengan saman-menyaman pula. Tidak mengapa. Mungkin itu adalah rezeki bagi pihak mereka. Jadi biarkanlah," katanya seperti yang dilapor Kosmo!

Jelasnya lagi, status yang dimuat naik di laman sosial Twitter sebelum ini bukan tuduhan melulu sebaliknya sekadar ingin bertanya kepada penulis tersebut. Namun pertanyaannya disalahertikan oleh netizen.

"Sebelum ini saya memang tahu tentang novel tersebut cuma tidak pernah mengikuti perkembangannya. Sehinggalah edisi terbaharu dikeluarkan, saya perasan ada persamaan pada wajah wanita yang menghiasi kulit novel tersebut.

"Sekali pandang pun ia memang nampak sama dengan saya. Sebab saya tidak tahu apa-apa, jadi saya tanya di laman Twitter mengenainya.

"Saya sekadar bertanya bukannya menuduh. Cuma ia menjadi besar apabila netizen pula yang salah faham dan beranggapan saya perasan.

"Tetapi nama yang digunakan sah-sah memang nama saya dan wajah yang dilukiskan juga seakan-akan saya. Sebab itulah saya menanyakan perkara tersebut," terangnya.
Uqasha Sekadar Bertanya, Netizen Yang Salah Faham Uqasha Sekadar Bertanya, Netizen Yang Salah Faham Reviewed by Kakigosip on 13:16:00 Rating: 5
Powered by Blogger.