Saya tak kecil hati pun...: Fahad Iman

PELAKON meningkat naik, Fahad Iman mengakui menceburi bidang seni bukan kerana mengejar populariti semata-mata.

Lantaran itu, selebriti berusia 25 tahun ini juga tidak kisah sekiranya namanya lambat dikenali peminat.

"Buat masa ini, saya selesa dengan apa yang saya buat. Saya bersyukur apabila rezeki lakonan juga tak putus-putus.

"Lagipun, lakonan it's my passion. Dah dapat peluang berlakon pun saya dah happy.

"Bagi saya, famous adalah bonus. Tapi, saya kira bertuah kerana ada juga peminat yang kenal saya," katanya ketika ditemui selepas pelancaran drama mini, 3 Gadis Manis musim kedua.

Mengakui bakat lakonannya pernah dikritik,  pelakon drama bersiri Suri Hati Mr Pilot ini bagaimanapun melihatnya daripada sudut positif.

"Saya tak kecil hati sebab saya pun bukanlah terlalu sempurna.

"Lagipun, saya ambil setiap kritikan itu demi memperbaiki mutu lakonan saya pada masa depan," katanya.

Bahkan, pelakon drama Isteri VS Tunang ini juga tidak kisah apabila kerap disogok dengan tawaran sebagai pelakon pembantu.

"Saya pun masih baharu. Baharu tiga tahun dalam industri. Lagipun, saya budak baharu dan perjalanan pun jauh lagi.

"Tapi, saya percaya setiap pelakon ada rezeki masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Fahad juga mengakui lebih selesa mengurus sendiri kariernya tanpa bernaung di bawah syarikat pengurusan bakat.

"Saya pernah dapat offer dari sebuah syarikat pengurusan artis, kira-kira dua tahun lalu. Tapi, saya tak bersedia untuk menerimanya.

"Kini, saya lebih selesa dan yakin apabila diuruskan oleh ibu sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahad bakal muncul dalam drama mini siri, 3 Gadis Manis musim kedua di samping Yaya Zahir, Dee Alhadi, Aedy Ashraf dan Hannah Delisha.

"Saya memegang watak Sufian iaitu jiran kepada tiga gadis.

"Saya terima tawaran ini kerana tempoh shootingnya yang Agak singkat selain ia mudah," katanya.

Mini siri ini diarahkan oleh Junad M Nor dan Nadirah Zakariya serta akan bersiaran menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 April ini.

Selain itu, Fahad juga sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri, Nafas di samping Cristina Suzanne, Sarah Hildebrand, Kilafairy dan Erwin Dawson untuk NTV7.
Saya tak kecil hati pun...: Fahad Iman Saya tak kecil hati pun...: Fahad Iman Reviewed by Kakigosip on 05:46:00 Rating: 5
Powered by Blogger.