Pengalaman seram Osman Ali, kru siapkan Langsuir

NAMA pengarah prolifik ini di arena pengarah sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Malah kebanyakan filem-filem sentuhannya mendapat kutipan box-office.

Terbaharu, selepas mempertaruhkan filem Pinjamkan Hatiku, Osman Ali bakal kembali dengan sebuah filem seram romantis, Langsuir.


Filem yang mempertaruhkan Syafiq Kyle dan Hannah Delisha sebagai pelakon utama ini dijadualkan bakal menggamatkan pawagam-pawagam bermula 21 Jun 2018 nanti.

Langsuir menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung ke pulau terlarang bernama Pulau Langsuir.

Azlan yang jatuh cinta dengan Suri tidak mengetahui bahawa Suri adalah langsuir yang mendiami pulau itu. Zaman irihati dengan hubungan Azlan dan Suri telah merancang untuk menikam paku tajam ke kepala Suri untuk melihat sejauh mana kebenaran mitos mengatakan langsuir akan kekal menjadi perempuan cantik jika kepalanya ditebuk paku.



Tindakan Zaman telah berjaya dengan bantuan Kamal namun telah menimbulkan kemarahan Dewi, kakak Suri. Dewi nekad mahu membalas dendam dan menghancurkan Zaman serta rakan-rakannya.

Selain Syafiq Kyle dan Hannah Delisha, filem Langsuir turut dibintangi oleh Firdaus Nadzaman, Julia Farhana, Halim Radzi, Shahkimin, Nazri, Daaim Jailani dan Naza Manas.

Berkongsi mengenai pembikinan filem sulung terbitan syarikat Guam Teamwork Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama produksi milik Osman, Nuansa Films, Osman berkata, Langsuir telah menjalani sesi penggambaran selama 25 hari di Pulau Langkawi serta beberapa lokasi sekitar yang dipercayai sudah ditinggalkan lama seperti Gua Langsir, Gua Tembus, Pantai Talam Dua Muka dan Teluk Datai.

Mengakui berdepan dengan beberapa kejadian menyeramkan kita penggambaran berlaku, Osman bagaimanapun menganggap ia sebagai daripada cabaran untuk menyiapkan filem ini.

"Boleh dikatakan setiap hari ada peristiwa yang menyeramkan berlaku. Ada satu kejadian ketika penggambaran di sebuah gua, salah seorang krew telah disampuk selepas dia nampak kelibat di dalam gua tersebut.

"Mungkin ada silapnya juga kerana dia terlalu berani untuk explore gua tersebut.

"Kemudian pelakon baharu, Julia Farhana juga melalui kejadian mistik ketika penggambaran di pantai, dia merasa dipeluk sesuatu. Tapi dia tak nampak apa yang memeluknya dan rasa terganggu dengan kejadian itu.

"Bukan itu sahaja, pernah terjadi beberapa kejadian seperti mereka nampak krew di pantai, tapi sebenarnya krew tersebut ada di kereta. Ada ketikanya ada yang dah bertegur sapa, tapi akhirnya keliru dengan siapa mereka berbual tadi.

"Sehinggakan bila nampak ada krew duduk sendiri, ada yang jadi takut nak tegur kerana takut itu bukan orang sebenar," ujarnya.

Tambah Osman, sejak awal penggambaran, dia dan seluruh produksi telah ambil langkah berjaga-jaga dengan menjemput ustaz untuk membaca doa di lokasi sebelum memulakan penggambaran.

"Bagaimanapun kejadian tak diduga itu tetap berlaku dan saya kira, itu tempat mereka. Jadi jika mereka suka, memang benda itu akan menunjukkan dirilah.

"Lucunya apabila penggambaran sudah selesai di sesuatu lokasi, baharulah kami maklum tempat itu tempat orang-orang yang pandai dengan perkara mistik buang benda yang mereka 'tangkap'.

"Tapi kami anggap semua itu sebagai pengalaman dan pengajaranlah," jelasnya.


Tidak hanya berdepan dengan peristiwa mistik, Osman berkata, antara cabaran lain yang dilaluinya adalah menyempurnakan penggambaran dalam tempoh 25 hari.

Secara tidak langsung, membuatkan dia kagum dengan beberapa penggiat filem yang berjaya menghasilkan sesebuah filem dengan penggambaran bawah 20 hari.

"Biasanya kalau saya hasilkan sesebuah filem memang makan masa lebih sebulan. Tapi untuk filem ini, kami selesaikan dalam tempoh 25 hari dengan cabaran cuaca dan lokasi sukar.

"Tapi kami berjaya hadapi cabaran itu dan walaupun filem ini tidak besar, saya ibaratkan filem ini seperti sebuah filem berskala kecil tapi berjiwa besar.

"Saya tidak jadikan bajet sebagai satu kekangan dan tetap buat sehabis baik agar hasilnya nanti memuaskan hati para penonton," katanya.

Osman berkata, apa yang diharapkan nanti, Langsuir mendapat tempat tersendiri di hati penonton sama seperti sambutan hangat yang diterima Dukun kini.

Justeru, mampukah cinta antara dua dunia bertahan atau terkubur demi menyelamatkan sebuah persahabatan? Jangan lupa untuk saksikan filem ini kelak.

Pengalaman seram Osman Ali, kru siapkan Langsuir Pengalaman seram Osman Ali, kru siapkan Langsuir Reviewed by Kakigosip on 05:05:00 Rating: 5
Powered by Blogger.