Menangis berlakon dengan Syazwan Zulkifly

SELEPAS Johor Bahru, Drama Festival Kuala Lumpur atau DFKL kembali meneruskan aktiviti bengkel perkongsian ilmu lakonan ke lokasi seterusnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berlangsung selama dua hari pada Sabtu dan Ahad.

Antara yang menarik perhatian sepanjang program berlangsung semalam adalah kemunculan seorang peserta cilik dalam sesi uji bakat lakonan yang berjaya menarik perhatian juri apabila tampil dengan lakonan yang cukup berkesan sehingga mampu menangis.

Video lakonan peserta cilik tersebut menjadi tular, malah ramai yang memuji kesungguhan yang ditunjukkan berbanding peserta lain yang lebih dewasa daripadanya.


Menurut Syazwan Zulkifly yang turut berada di sesi uji bakat tersebut untuk membantu para peserta, peserta cilik tersebut membuktikan usia bukan menjadi kayu ukur untuk seseorang itu mengembangkan bakat seninya.

“Dalam ramai-ramai yang datang uji bakat hari ini, saya jumpa seorang peserta kanak-kanak yang sangat berbakat dan berjaya buat ramai orang terpegun dengan lakonannya.

“Bayangkan dia boleh menjiwai watak yang diberikan sehingga menangis walaupun dalam tempoh sekejap sahaja dan saya percaya dia telah membuat persiapan yang rapi sebelum hadir ke sesi ini.

“Semangat dan sikap seperti inilah yang harus ada apda setiap orang kalau mahu berjaya. Jadi saya harap kepada sesiapa yang nak datang ke sesi uji bakat, pastikan anda bersedia dan membuat persiapan yang sepatutnya,” ujar Syazwan jujur.

Syazwan mengakui bukan senang untuk bergelar pelakon, apatah lagi untuk kekal bersaing dalam industri seni yang semakin mencabar dari hari ke hari.

Justeru pelakon drama Kalis Kasih mengharapkan agar bakat baharu yang memperoleh peluang untuk berkongsi bakat mereka agar lebih serius dan menghargai ruang yang diberikan.

“Saya dulu bermula dari bawah di mana penglibatan saya dalam bidang seni ini adalah sebagai pelakon tambahan.

“Biarpun hanya sebagai pelakon tambahan, saya sangat menghargai peluang itu dan cuba melunaskan tanggungjawab itu dengan sebaik yang mungkin sehingga akhirnya saya diberi ruang yang lebih besar sebagai pelakon utama.

“Jadi saya harap, bakat-bakat ini baharu tahu menghargai peluang dan sentiasa ada niat untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik,” katanya .

Dalam pada itu, Syazwan juga turut berkongsi pengalamannya berada di bengkel DFKL yang berlangsung semalam yang menyaksikan sambutan yang begitu meriah daripada orang ramai.

“Setiap kali DFKL mengadakan aktiviti pencarian bakat baharu dan bengkel lakonan, saya lihat ramai yang menunjukkan minat dan hadir mencari peluang untuk bergelar pelakon.

“Tapi sayangnya ramai yang tidak menghargai peluang itu dengan baik apabila datang dengan dada yang kosong, tanpa membuat persediaan yang cukup sekali gus memberi gambaran awal tentang sikap mereka.

“Saya terkejut bila dapat tahu ada yang datang dari jauh termasuk Sabah dan Sarawak semata-mata untuk menghadiri uji bakat ini, tetapi tidak membuat persiapan langsung dan sekadar membawa diri agar diberikan peluang,” kongsinya sedikit kesal.

Menangis berlakon dengan Syazwan Zulkifly Menangis berlakon dengan Syazwan Zulkifly Reviewed by Kakigosip on 05:23:00 Rating: 5
Powered by Blogger.