Kecaman Buatkan Peminat Berdiri Teguh Di Belakang Saya - Neelofa

Meskipun terpalit dengan kontroversi dan dikecam hebat netizen sebelum ini namun aktres dan pengacara Neelofa membuktikan dia masih mempunyai ramai penyokong apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama Top Top MeleTop Wanita 2018.

Lofa meraih kejayaan tersebut pada majlis Anugerah MeleTop Era 2018 (AME2018) yang berlangsung penuh gemilang di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

"Dengan kecaman inilah membuatkan peminat berdiri teguh di belakang dan membawa saya kekal bersama mereka. Mereka juga terus bekerja keras demi kerjaya saya.

"Saya tak boleh menutup mulut orang daripada terus mengata. Apa yang saya boleh buat adalah kuatkan hati dan berusaha demi kerjaya seni dan perniagaan saya supaya menjadi inspirasi kepada orang lain," katanya seperti yang dilaporkan BH online.

Selain trofi utama, Neelofa memenangi anugerah Fesyen Meletop dan Pelakon Televisyen (TV) Meletop.

Kemenangan Neelofa selaku Top Top MeleTop Wanita menyaksikan pengacara berusia 29 tahun itu mempertahankan kategori tersebut buat dua tahun berturut-turut.

Sementara anugerah Top Top MeleTop Lelaki menjadi milik penyanyi muda yang kini sedang meningkat naik namanya, Khai Bahar.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Bayang itu turut memenangi dua kategori anugerah iaitu Lagu MeleTop dan Penyanyi MeleTop.

"Sesuatu yang saya tak jangka... Saya anggap ini kemenangan peminat kerana mereka yang bekerja keras mengundi saya untuk meraih trofi.

"Tahun lalu, saya menang trofi Artis Baharu Meletop, selepas ini sasaran saya hendak meraih anugerah terbaik pula.

"Kemenangan ini atas usaha peminat Indonesia yang memainkan peranan mewujudkan akaun khas yang dikendalikan peminat di Malaysia untuk mengundi saya," katanya.

Malam anugerah dikendalikan oleh Neelofa dan Nabil Ahmad selain diserikan dengan kehadiran beberapa artis lain sebagai pengacara jemputan iaitu Sabri Yunus, Jihan Muse dan Sherry Al-Hadad.
Kecaman Buatkan Peminat Berdiri Teguh Di Belakang Saya - Neelofa Kecaman Buatkan Peminat Berdiri Teguh Di Belakang Saya - Neelofa Reviewed by Kakigosip on 14:47:00 Rating: 5
Powered by Blogger.