Gara-gara Dukun, Elyana Tak Jumpa KLCC

Penyanyi dan pelakon Elyana, 30, memberitahu dia tersesat dan nyaris tidak menjumpai bangunan KLCC sewaktu perjalanan menuju ke majlis tayangan perdana filem Dukun, petang semalam.

Menurut pemilik nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal ini, dia bersama suaminya sesat selama 20 minit. Tambah membuat mereka suami isteri berasa pelik, panduan 'waze' yang digunakannya membawa mereka ke destinasi lain.

"Saya gembira dan dalam masa sama saya gementar sebab filem ini akhirnya dapat ditayangkan. Rasa gementar tu sampaikan hendak datang sini tadi pun saya tak jumpa KLCC.

"Selama ini kalau hendak ke mana-mana saya memang menggunakan 'waze' namun saya tetap melihat papan tanda.

"Tetapi tadi saya dan suami, kami tak nampak langsung KLCC. 'Waze' bawa kami ke tempat lain. Hampir 20 minit kami sesat," katanya ketika ditemui sejurus usai sesi tayangan bertempat di TGV.

Bersyukur akhirnya Dukun dapat ditayangkan selepas 12 tahun, bagaimanapun Elyana mengakui kira-kira tujuh tahun lalu dia pernah berasa kecewa ekoran filem arahan Dain Said itu masih belum lulus untuk ditayangkan.

"Tujuh tahun lepas saya kecewa, tetapi masa tu saya dah mengikhlaskannya. Tetapi beberapa hari lalu, saya diberitahu filem ini akan ditayangkan. Saya gembira dan umpama anak yang hilang jumpa semula, agak kekok kerana penantian filem ini sangat lama," katanya.

Berkongsi mengenai cabaran wataknya, Elyana mengakui sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan, karakter kali ini paling mencabar kerana dia perlu menjiwai dua watak.

"Ini watak paling berat yang pernah saya bawakan setakat ini. Dalam filem ini saya bawa dua karakter iaitu Nadia dan Diana. Nadia seorang remaja yang jalan hidupnya penuh misteri. Apa yang susah apabila saya perlu menjadi Diana. Ini bukan cerita seram yang memerlukan muka kita buruk-buruk, tetapi cerita ini lagi halus.

"Saya kena belajar dan perhatikan cara pergerakan kak Umie Aida apabila dia menjadi Diana. Sebelum masuk ke set, saya dan kak Umie menjalani latihan berdua selama sebulan," tuturnya yang sebelum ini pernah muncul menerusi filem seram, Gong.

Elyana juga meluahkan rasa bertuah kerana dapat bekerjasama dan menimba pengalaman dengan barisan pelakon senior yang masing-masing disifatkan punya cara dan aura yang tersendiri.

"Ketika berlakon filem ini saya berusia 18 tahun, baru habis SPM. Saya rasa beruntung dapat berlakon dengan barisan artis senior, masing-masing ada aura tersendiri . Ada ketika mereka tak perlu melafazkan dialog tetapi gaya mereka buat kita boleh rasa lakonan mereka dan mereka sangat berdisiplin.

Dalam pada itu Elyana berharap penonton tidak membuat penilaian awal sebelum menonton Dukun. Dia juga berpesan kepada mereka yang ingin menonton bahawa filem ini adalah karya yang dibikin 12 tahun lalu.

"Kepada penonton, jangan bandingkan filem ini dengan zaman sekarang sebab filem ini adalah lakonan kami yang 12 tahun lepas.

"Jadi sebelum masuk ke panggung wayang, kena tanam dalam kepala ini filem 12 tahun lalu. Baru lah baru anda akan rasa filem ini relevan," katanya.

Selain Elyana dan Umi Aida, filem terbitan Astro Shaw ini turut dijayakan pelakon seperti Faizal Hussein, Namron, Adlin Aman Ramli, Soffi Jikan dan ramai lagi.

Terdahulu, filem menjalani penggambaran pada 2005 dan sepatutnya ditayangkan pada Disember 2006 itu dikatakan diharamkan tayangannya ekoran masalah tertentu.
Gara-gara Dukun, Elyana Tak Jumpa KLCC Gara-gara Dukun, Elyana Tak Jumpa KLCC Reviewed by Kakigosip on 20:32:00 Rating: 5
Powered by Blogger.