Edry Bawa Keluarga Pindah ke Eropah, Cari Rawatan Terbaik Untuk Anak

Penerbit muzik dan penggubah lagu, Edry Abdul Halim, 41, bakal membawa keluarganya memulakan hidup baharu di Eropah bagi membolehkan anak ketiganya yang menghidap autisme menerima pendidikan terbaik.

Menurut laporan BH online, anggota kumpulan KRU itu berkata, perkara tersebut sudah dibincangkan dengan seluruh ahli keluarga selepas Emery yang bakal mencecah usia 10 tahun masih belum boleh bertutur dan ia dilakukan untuk membantu perkembangan anaknya itu.

"Selama ini, kerja saya mengajar orang lain. Saya tertanya-tanya, kenapa tidak saya tumpukan perhatian penuh kepada anak istimewa sendiri. Demi masa depannya, kami sekeluarga sedia berhijrah, mungkin untuk setahun dua dahulu.

"Saya dan isteri belum putuskan lagi lokasinya, tetapi di Eropah. Bukan tiada pusat pendidikan yang bagus di sini, namun kemudahan untuk kanak-kanak autisme di sana lebih lengkap.

"Sepatutnya kami bertolak bulan depan, sehari selepas Konsert Gergasi KRU 25. Disebabkan puasa dan raya sudah dekat, kami tangguhkan pemergian selepas Aidilfitri," kata bapa kepada empat cahaya mata ini.

Meskipun berjauhan, namun dia tetap meneruskan perniagaannya yang dibina bersama dua abangnya, Datuk Norman dan Yusry dengan bantuan teknologi.

"Dari segi bisnes, kami tetap usahakan bersama-sama dengan bantuan teknologi. Segala tugasan penerbitan dan sebagainya akan tetap diteruskan seperti biasa," katanya.

Terdahulu, KRU membuat pengumuman untuk membubarkan kumpulan itu secara rasmi pada hari terakhir konsert iaitu 6 Mei ini.

Persembahan mega selama tiga malam sempena ulang tahun ke-25 penubuhan KRU akan diadakan di Istana Budaya turut menjadi konsert selamat tinggal mereka.
Edry Bawa Keluarga Pindah ke Eropah, Cari Rawatan Terbaik Untuk Anak Edry Bawa Keluarga Pindah ke Eropah, Cari Rawatan Terbaik Untuk Anak Reviewed by Kakigosip on 13:19:00 Rating: 5
Powered by Blogger.