Doktor beri amaran pada Sherry Al Hadad

PENGACARA dan pelakon, Sherry Al Hadad memberitahu, dia tergerak hati untuk menurunkan berat badan bukan kerana untuk kurus, tapi atas faktor kesihatan.

Menurut bintang berusia 34 tahun ini, doktor pernah memberi amaran dan mengingatkannya untuk menurunkan berat badan dalam tempoh tiga tahun atau dia mungkin berdepan dengan pelbagai komplikasi penyakit.

Justeru bulan Januari lalu, dia rasa tergerak untuk mengubah gaya hidupnya dan memulakan program menurunkan berat badan sejak awal Januari lalu.

"Alhamdulillah dalam tempoh tiga bulan saya berjaya menurunkan berat sebanyak 11 kilogram (kg).

"Walaupun penurunan tidak begitu drastik, tapi saya berpuas hati dengan jumlah penurunan tersebut.

"Saya bersenam dan jaga permakanan ini pun bukan nak kurus semata-mata tapi untuk sentiasa sihat dan cergas,” jelasnya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama peminatnya di butik Asyikin Exclusive, Setapak Central Mall, di sini, semalam.


Berat badan pemilik nama sebenar Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, sebelum ini 119 kg dan terkini hanya 108 kg, serta menyasarkan untuk mengurangkan  sehingga 100 kg dalam tempoh dua bulan lagi.

Dalam pada itu, Sherry berkata, proses peralihan yang dialaminya bukan mudah terutamanya terpaksa melupakan semua makanan kegemarannya.

Bahkan dia meluangkan masa di pusat kecergasan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

"Saya adalah manusia yang sangat menyukai coklat. Bagilah apa sahaja jenis coklat. Jadi bila tak boleh makan coklat pada awalnya memang agak sukar.

"Selain itu saya juga makan mengikut jadual yang telah diberikan oleh jurulatih kecergasan saya.

"Tapi saya tetapkan hari Ahad sebagai ‘cheat day’. Jadi, hari itu saya boleh makan apa sahaja yang teringin tetapi bukanlah secara melampau,” ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang kolaborasinya bersama Asyikin Exclusive, Sherry berkata, dia bakal tampil dengan koleksi baju raya untuk wanita berbadan gempal bersempena Aidilfitri tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, ini tahun kedua saya bekerjasama dengan Asyikin Exclusive. InsyaALLAH kami akan keluarkan baju raya untuk wanita berbadan besar pula.

“Kami akan lancarkan beberapa rekaan sesuai dengan bentuk badan bersaiz besar dan paling penting harganya mampu milik," katanya.
Doktor beri amaran pada Sherry Al Hadad Doktor beri amaran pada Sherry Al Hadad Reviewed by Kakigosip on 06:05:00 Rating: 5
Powered by Blogger.