Anak cool, saya yang sebak: Faizal Hussein

PEPATAH ada mengatakan, kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah sepanjang masa.

Begitulah yang dapat disimpulkan mengenai keluarga aktor terkenal, Faizal Hussein dan aktres, Suhaila Sulaiman setelah anak sulung pasangan ini, Fazryn Faizal berjaya menempatkan diri di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang, Negeri Sembilan.

Menurut Faizal, 51, semenjak anak sulung berusia 13 tahun itu memasuki MRSM sejak Februari lalu, boleh dikatakan setiap minggu mereka berulang alik dari Kuala Lumpur (KL) ke Kuala Klawang dan turut bermalam di sana.

"Biasanya kalau minggu yang dia boleh outing, kami akan ke sana pada hari Sabtu pagi, bawa dia keluar di sekitar pekan Kuala Klawang dan kemudian hantar dia semula ke asrama.

"Selepas itu kami akan bermalam di sekitar Kuala Klawang dan esoknya kami ulang rutin sama atau sekadar duduk di kawasan sekolah sebelum pulang ke KL," ujarnya .

Tambah anak kepada Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail ini, setelah beberapa bulan tidak bertemu, minggu lalu menyaksikan pertama kali dia tidak dapat berjumpa Fazryn kerana terikat dengan promosi filem Dukun.

"Rasa sedih juga bila tak dapat bertemu. Selalunya kalau minggu outing memang kami berkampung di Kuala Klawang. Kalau tidak, dia akan balik ke rumah.

"Lucunya anak saya tenang sahaja berada di sekolah berasrama. Tapi saya yang sedih dan sebak.

"Minggu pertama dia tiada di rumah. Memang terasa sangat. Lagipun hubungan kami anak beranak memang rapat.

"Mujurlah sekolahnya membenarkan pelajar membawa telefon bimbit kecil ke sekolah. Jadi dapatlah lepas rindu bila dia menghubungi mamanya," ceritanya.

Faizal berkata, apa yang diharapkannya, Fazryn akan terus cemerlang dalam akademik dan berjaya mencapai cita-cita yang diimpikan.

"Memang impiannya untuk memasuki MRSM dan bila tercapai, saya sangat bangga.

"Saya harap dia terus sukses dalam hidupnya dan kekal berada di dalam MRSM sehingga tamat sekolah," katanya.

Selain Fazryn, pasangan ini memiliki seorang anak lelaki, Fazrick Faizal, 10 tahun.
Anak cool, saya yang sebak: Faizal Hussein Anak cool, saya yang sebak: Faizal Hussein Reviewed by Kakigosip on 05:50:00 Rating: 5
Powered by Blogger.