ALLAH buka jalan: Safura Yaacob

DALAM diam, Safura Yaacob bakal menghiburkan peminatnya sempena sambutan Hari Ibu pada 1 Mei depan.

Tidak hanya itu, selebriti berusia 45 tahun ini juga sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri, Ustazah Pencen untuk RTM.

Mengakui rindu untuk kembali aktif di persada seni, Safura menyifatkan kesempatan yang hadir sebagai satu peluang keemasan.

“Sebelum ini, memang pernah terdetik di hati saya nak aktif semula tahun ini.

“Alhamdulillah, bila hati terdetik, ALLAH pun membuka jalan. Saya anggap ini semua rezeki,” katanya.

Lebih bertuah, pelantun lagu Sedalam Mana Cintamu ini turut menerima sokongan daripada suami tercinta yang juga aktor terkenal, Shahrolnizam Nor.

“Saya ada bercakap pada suami mengenai perkara ini. Alhamdulillah, suami mengizinkannya cuma dia kata kena ingat pada anak-anak juga.

“Jadi, saya pun bukanlah all out untuk kembali aktif kerana keutamaan saya tetap pada suami dan anak-anak.

“Saya cuma boleh aktif di sekitar Kuala Lumpur sahaja kerana anak-anak pun masih bersekolah,” katanya.

Sebelum ini, Safura mula menyepi di persada seni tanah air selepas kehilangan anak sulungnya, Nur Aisyah Mariam akibat demam berpanjangan, pada 2011.

Bercerita mengenai persembahan istimewanya untuk Hari ibu, Sepetang Bersama Bonda Ratuku, Safura bakal menyampaikan lima lagu popularnya bergandingan dengan Liza Hanim.

“Saya rindu menyanyi. Jadi, bila diberi peluang seperti ini saya anggap itu rezeki. Insya-ALLAH, saya akan berusaha buat yang terbaik.

“Tapi sebagai persediaan, mungkin saya perlu buat banyak latihan apatah lagi saya ini jarang berkaraoke,” katanya.

Sepetang Bersama Bonda Ratuku bakal dihoskan oleh Fauziah Ahmad Daud di Hotel Premiera Kuala Lumpur, pada 1 Mei depan.

Tiket bagi menyaksikan persembahan mula dibuka pada harga jualan setinggi RM10,000 bagi Pakej Korporat RM5,000 (Pakej Bonda), RM150 (Individu) dan serendah RM80 untuk kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, Safura juga aktif menjalankan pelbagai bisnes seperti menjual kek, sambal dan nasi Arab menerusi jenama Safura Marvelous.

ALLAH buka jalan: Safura Yaacob ALLAH buka jalan: Safura Yaacob Reviewed by Kakigosip on 07:50:00 Rating: 5
Powered by Blogger.