'Tiada siapa berani mendekati...'

Pada usia mencecah 37 tahun, penyanyi popular Dayang Nurfaizah nampaknya masih lagi selesa dengan status solonya.

Malah, setiap kali diajukan soalan oleh pihak media, jawapan Dayang tetap sama, dia masih belum memiliki kekasih mahupun calon suami.

“Saya belum pernah bercinta mahupun memiliki kekasih. Setakat ini tiada siapa yang berani mendekati mahupun cuba mengetuk pintu hati.

“Terus terang, saya memang memilih lelaki yang hendak dijadikan calon suami kerana kalau berkahwin biarlah sekali seumur hidup,”katanya.

Namun, kata pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini, keluarga juga tidak pernah memberi tekanan kepadanya untuk berkahwin.

“Pada usia sekarang, ada juga perasaan bimbang setiap kali ditanya soal jodoh, tapi saya tidak mahu terlalu membebankan fikiran dan fokus pada karier nyanyian.

“Ibu bapa tidak pernah mendesak saya untuk berkahwin mahupun mencarikan calon suami.

“Mereka tahu saya macam mana dan lebih suka mencari calon suami sendiri,”katanya ketika ditemui di majlis ‘Luncheon With the Stars’ bersama Datuk Jamal Abdillah di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Dayang julung kali akan digandingkan dengan Jamal untuk menghiburkan golongan setiausaha sempena sambutan Minggu Setiausaha di hotel berkenaan pada 25 April depan.

Mengenai sambutan Minggu Setiausaha pula, kata pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu sebanyak tiga kali berturut-turut ini, dia teruja kerana dapat berkongsi pentas dengan Jamal.

“Saya percaya sambutan Minggu Setiausaha masih lagi relevan kerana ia berbeza dengan persembahan pentas yang lain kerana membabitkan golongan korporat.

“Saya juga akan menghiburkan setiausaha dan bos mereka dengan rangkaian lagu popular seperti Separuh Matiku Bercinta, Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Sayang Kamu dan banyak lagi,”katanya.

Harga yang ditawarkan untuk menyaksikan persembahan Minggu Setiausaha Jamal dan Dayang bermula daripada RM280 seorang untuk meja Silver, RM380 untuk meja Gold dan RM500 seorang untuk meja Platinum yang dilengkapi dengan set makan tengah hari istimewa daripada tukang masak hotel.
'Tiada siapa berani mendekati...' 'Tiada siapa berani mendekati...' Reviewed by Kakigosip on 05:26:00 Rating: 5
Powered by Blogger.