Tak sokong tapi simpati

“ITU di luar kawalan dan saya sebenarnya tidak menyokong tindakan mereka kerana takut pihak sana menuduh saya melakukannya,” kata Intan Liana Saleh, isteri pemuzik, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude.

Dia berkata sebagai mengulas kewujudan laman khas (page) di media sosial yang memberi sokongan kepadanya.

Laman (page) itu menjadi tempat netizen mengecam Ude dan isteri keduanya, pelakon Izreen Azminda berikutan tindakan Ude yang mengambil keputusan meneruskan proses lafaz cerai terhadap isteri pertamanya ini di Mahkamah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur selepas memfailkannya pada 30 November 2017.

Intan berkata, walaupun hatinya terluka dengan tindakan Ude, dia tetap bersimpati dengan suaminya yang berterusan menerima kecaman masyarakat sejak enam hari lalu.

“Saya akui tiada hak untuk menghalang masyarakat berbuat demikian tetapi kami masih bergelar suami isteri sehingga keputusan dibuat pada 22 Mac ini. Perasaan kasihan tetap ada namun kecaman itu dibuat kerana tindakannya sendiri.

“Saya juga tidak mahu isu itu membuatkan keluarga Ude menyalahkan saya kerana saya tidak pernah minta mana-mana pihak buat laman terbabit. Sebelum ini pun saya hanya jawab jujur apa yang disoal pihak media,” katanya.

Mengulas perkembangan terbaru, Intan yang pernah menjadi penari di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama sembilan tahun, mengakui sudah menerima tawaran menjadi duta tudung.

“Dalam keadaan sekarang, saya memang berminat terima apa saja tawaran yang sesuai demi menyara dua anak iaitu Aris Muqri, 4, dan Ariq Muqri, 1.

“Saya hanya akan bersetuju dengan produk memerlukan saya tampil, sopan dan tidak menimbulkan cemuhan masyarakat.

“Setakat ini, ada beberapa tawaran diajukan tetapi saya memang tidak pandai untuk bincang berkenaan harga. Segala-galanya diserahkan kepada kakak saya, Roza,” katanya.
Tak sokong tapi simpati Tak sokong tapi simpati Reviewed by Kakigosip on 20:20:00 Rating: 5
Powered by Blogger.