Tak risau dicabar BBNU

BAND Estranged tidak melihat sebarang sebab untuk menukar hala tuju muzik mereka demi bersaing dengan penyanyi baru terutama Budak Baru Nak Up (BBNU).

Band dianggotai Rich Gimbang, Din Hormatov, dan Hanafi itu sebaliknya mahu terus kekal dengan konsep muzik yang sebati dengan perjuangan mereka selama ini.

Menurut vokalisnya Rich, tiada apa-apa yang perlu dirisaukan dan tertekan apabila ditenggelami artis baru.

“Perkara ini adalah perkara biasa dalam industri yang orang ramai pun faham situasinya. Asalkan mereka tahu lagu, muzik, dan siapa Estranged sudah memadai.

“Kami tidak perlu menekan diri untuk membuktikan sesuatu demi mengatasi artis baru. Kami cuma perlu buat apa yang selama ini kami lakukan.

“Seperti mana Linkin Park takkanlah kena nyanyi seperti Dua Lipa atau Bruno Mars. Mereka tetap teguh menjadi Linkin Park,” katanya.

Bakal mengadakan siri jelajah di Sabah dan Sarawak bermula Ogos nanti, Rich percaya projek itu akan membantu mereka mengukuhkan sokongan peminat dari sana.

“Ia adalah sebuah projek komuniti di mana kami akan berkunjung ke 40 pekan di Sarawak dan 22 di Sabah. Kami akan membuat persembahan di atas trak yang menjadi pengangkutan utama sepanjang projek itu.

“Tidak ketinggalan, bukan saja membuat persembahan bahkan kami akan turut beramah-mesra dan menyelami kehidupan penduduk di sana,” katanya.
Tak risau dicabar BBNU Tak risau dicabar BBNU Reviewed by Kakigosip on 20:19:00 Rating: 5
Powered by Blogger.