Sukar tambat hati peminat

Bukan mudah bagi artis dari luar negara bertapak dan menempa nama dalam gelanggang seni Malaysia, malah setiap peluang yang ada perlu dimanfaatkan.

Bagi memastikan diri lebih dikenali, penting bagi seseorang itu mengenali penggiat seni tempatan supaya tawaran berlakon sentiasa konsisten.

Biarpun hampir 11 tahun mencipta nama sebagai pelakon, jejaka kelahiran Iraq, Abdulrahman Suud mengakui mudah bukan untuk bertahan dan terus menghiasi kaca televisyen.

Adakalanya, walaupun sudah berjaya belum tentu dapat kekal berada di atas. Justeru, percaturan harus disusun kemas agar langkah tidak terhenti di tengah jalan.

Kata Rahman, dia bersyukur namanya masih menjadi sebutan peminat selepas menjayakan beberapa karya.

“Saya datang ke sini ketika berusia lapan tahun. Sebelum itu saya menetap di Jepun dan India. Apabila ibu bapa menerima tawaran bekerja di Kuala Lumpur, kami sekeluarga berpindah ke sini pada 1991.

“Saya bersekolah dan mencari rezeki di Malaysia. Setiap kali meninggalkan Malaysia, pasti saya tidak sabar untuk kembali.

“Bagaimanapun, saya akui bukan mudah untuk menempatkan diri sebagai pelakon. Lebih-lebih lagi individu yang datang dari luar negara. Banyak cabaran dan onak liku harus ditempuh,” katanya.

Ditanya apakah cabaran terbesar yang perlu diharunginya, Rahmah berkata, penonton di Malaysia sudah mempunyai artis kegemaran mereka.

“Ketika saya masuk dalam industri, rata-rata penonton sudah mempunyai artis kegemaran mereka sendiri dan bukan mudah untuk saya menambat hati mereka.

“Tambahan pula, tidak fasih berbahasa Melayu menyebabkan saya sukar berkomunikasi dengan peminat.

“Namun begitu, saya masih bersyukur lebih 11 tahun mencanai bakat di Malaysia kehadiran dikenali umum meskipun rata-rata tidak mengingati nama saya,” katanya.

Siapa sangka, Zeel Production Sdn Bhd adalah rumah produksi yang nampak bakatnya dan menghulurkan tawaran demi tawaran.

“Sehingga hari ini Zeel masih mengambil saya berlakon. Ada saja tawaran diberikan.

“Saya berterima kasih kepada penerbitnya, Fadzil Teh kerana dia sentiasa mencipta watak baru untuk saya.

“Saya sangat terhutang budi dengannya. Saya harap rezeki dalam bidang ini akan lebih luas,” katanya yang pernah membintangi drama Nurul Iman, Tahajjud Cinta, Karma, Rindu Bertamu di Abu Dhabi, Cinta Burj Khalifa dan Cinta Syaahadiat.

Perkembangan lain, jejaka berusia 34 tahun itu memberitahu, selepas lebih sedekad mencuba nasib sebagai pelakon, dia bakal membuka sebuah restoran di Jakarta, Indonesia.

Katanya, dia memilih Indonesia kerana mahu mencuba nasib di tempat baru selain merasai suasana bekerja di sana.

“Sengaja saya mencuba nasib. Tambahan pula ada saudara saya di sana yang sudi membantu,” katanya.
Sukar tambat hati peminat Sukar tambat hati peminat Reviewed by Kakigosip on 06:28:00 Rating: 5
Powered by Blogger.