Spider Impi Jelajah Kawasan Pedalaman

VOKALIS kumpulan Spider, Tam memberitahu kumpulan ini mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert dan siri jelajah di kawasan pedalaman seluruh Malaysia.

Tam atau Rustam Mustafa, 45, berkata jelajah itu nanti dapat memberi peluang kepada peminat bertemu mereka dengan lebih dekat.

"Insya-Allah kalau ada rezeki memang nak buat konsert berskala besar dan ikut perancangan kami target nak buat siri jelajah di beberapa kawasan pedalaman.



"Rata-rata peminat Spider merupakan orang luar bandar dan ini merupakan peluang untuk kita bertemu mereka dengan lebih dekat.

"Secara tak langsung dapat rapatkan hubungan antara kami dan kumpul peminat baru terutamanya golongan muda," katanya.

Tam ditemui semasa sidang media selepas berlangsungnya Showcase Spider dan Lampu Ajaib di MATIC, Kuala Lumpur pada Jumaat.



Selain Tam, kumpulan ini turut dianggotai oleh Ayie (Drummer), Nafi (gitaris) dan East (gitaris).

Bercakap mengenai penganjuran showcase tersebut, Tam mengakui timbul kebimbangan jika ia tidak mendapat sambutan.

Namun, sangkaannya itu meleset apabila ruang dewan dipenuhi dengan penonton dan dia terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat.


"Mulanya gementar juga sebab tak banyak publisiti tentang showcase ini, tapi ternyata sangkaan kami salah. Sambutan sangat baik dan pengunjung sangat happening.

"Persiapan untuk showcase ini kami buat dalam masa dua minggu sahaja. Mujurlah ramai pihak yang sudi membantu sehingga ia berjaya direalisasikan.

"Alhamdulillah, semuanya sporting dan seronok menghayati muzik Spider malam ni. Secara keseluruhannya, kami berpuas hati dengan persembahan kali ini," katanya.



Spider Impi Jelajah Kawasan Pedalaman Spider Impi Jelajah Kawasan Pedalaman Reviewed by Kakigosip on 22:37:00 Rating: 5
Powered by Blogger.