Siti Nurhaliza akui dalam debaran, teruja

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mengakui berdebar dan teruja untuk menyambut kelahiran cahaya mata sulung kurang dari dua minggu dari sekarang.

Menurut isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini, dia akan bersalin melalui proses pembedahan selepas dinasihatkan oleh doktor.

"Saya tidak menafikan ada rasa debar dan dalam masa yang sama teruja. Saya gembira kerana ramai yang mendoakan saya dan inilah kekuatan saya. Apa yang penting saya berharap agar segalanya akan berjalan baik dan lancar sampailah ke hari saya melahirkan.

"InsyaALLAH saya dijangka bersalin dalam tempoh seminggu lebih ini dan doktor menasihatkan saya bersalin secara pembedahan. Apa yang baik kata doktor, saya akur," katanya kepada Sinar Harian.

Memilih untuk berpantang di rumah sendiri, wanita berusia 39 tahun ini berkata, dia masih berbincang dengan suami berkenaan perkongsian gambar dan nama anak selepas bersalin kelak.

"Saya sedang berbincang dengan suami, apa kata suami saya bersetuju saja dan memang tidak boleh memuaskan hati semua tetapi saya putuskan yang terbaik nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, Siti turut mengucapkan terima kasih di atas doa dan pelbagai hadiah yang diterima daripada peminat semenjak mengumumkan berita kehamilannya.

"Alhamdulillah, sejak berita saya hamil diumumkan, sehingga ke hari ini, saya tidak putus-putus menerima hadiah.

"Memang sangat banyak pemberian peminat, bukan saja barangan tetapi macam-macam makanan turut dihantar ke rumah. Ini adalah rezeki anak saya, alhamdulillah," tuturnya.

Sementara itu, bagi mengubat rindu peminat, Siti baharu sahaja melancarkan single terbaru, Comel Pipi Merah, yang juga single istimewa sempena kelahiran anaknya kelak.

Single istimewa itu menyaksikan Siti sebagai pencipta lagu manakala lirik tulisan Rozi Abdul Razak.

"Lagu ini saya cipta memang untuk anak saya dan saya rakamkan sewaktu saya hamil tujuh bulan. Saya memang berhasrat ada sesuatu yang menjadi kenangan sewaktu hamil dan saya mencipta lagu ini untuk dendangan anak-anak kecil kita.

"Namun peminat saya pelbagai peringkat usia turut teruja dan ini menggembirakan saya. Lagu ini sudah dihantar ke radio-radio sejak sebulan yang lalu dan sejak 5 Mac lalu, lagu ini boleh dilanggani atau dimuat turun di seluruh platform digital.

"Alhamdulillah, hari pertama dilanggani, lagu ini menduduki carta nombor dua di iTunes dan saya berharap lagu ini mengubat rindu peminat kerana agak lama saya berehat dari sebarang kemunculan dan persembahan," jelasnya.

Tidak pasti bila akan memulakan semula karier seninya, Siti berkata, pihaknya masih giat mempromosikan album SimetriSiti, sehingga kini.

"Saya akan melihat bagaimana keadaan nanti, semuanya bergantung selepas bersalin. Namun berehat dan berpantang memang saya akan lakukan dengan baik, jika segalanya berjalan lancar, paling tidak selepas raya saya mungkin sudah boleh memulakan aktiviti.

"Pihak kami juga masih giat mempromosikan album SimetriSiti kerana sejak hamil saya tidak boleh turun padang. Album ini juga sudah beberapa lagu terpilih menjadi lagu OST drama dan ini adalah di antara usaha kami meneruskan promosi," akhirinya.
Siti Nurhaliza akui dalam debaran, teruja Siti Nurhaliza akui dalam debaran, teruja Reviewed by Kakigosip on 06:11:00 Rating: 5
Powered by Blogger.