Siti Nordiana, Alif Satar siap sedia konsert di Singapura

SEJAK kembali aktif dalam bidang seni selepas menyertai Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana mendapat perhatian luar biasa daripada peminat yang bukan hanya dari fasa pertama kerjaya seninya dahulu, tetapi juga daripada peminat generasi baharu.

“Alhamdulillah sesuatu Nana tidak pernah jangkakan sama sekali. Selalunya kalau penyanyi lama macam Nana agak sukar untuk tarik perhatian peminat generasi baharu yang dah tentu akan lebih cenderung untuk sokong artis yang sezaman dengan mereka.

“Jadi bila bila nama Nana tersenarai untuk tiga kategori dalam pencalonan akhir Anugerah MeleTOP yang berasaskan undian peminat, memang Nana terharu sangat.

“Jujurnya pada fasa pertama kerjaya seni dulu, Nana memang tidak pernah tercalon dalam anugerah yang berasaskan undian ini,” ujarnya yang cukup dikenali dengan sikap merendah dirinya.

Bercerita tentang perkembangan terbaharunya, kata Nana, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Pengantin Musim Salju, yang sekali lagi menyaksikan gandingannya dengan Alif Satar.

“Sebenarnya Nana tak sempat sangat nak buat drama kerana terikat dengan jadual persembahan yang sangat padat, tapi disebabkan peminat yang nak Nana terus berlakon, Nana cuba juga buat drama walaupun sekali setahun.

“Kebetulan pula Pengantin Musim Salju ini memang dah lama penerbitnya rancang nak buat dengan menggandingkan sebahagian besar pelakon-pelakon daripada drama Dia Semanis Honey termasuk Alif Satar.

“Jadi sayanglah kalau Nana tak dapat buat sebab jalan cerita dan watak yang diberikan sangat menarik,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan lain, Nana juga bakal tampil dengan single terbaharunya, Hatiku Milikmu, ciptaannya sendiri yang bakal dilancarkan sekitar April depan.

“Banyak benda berjalan serentak buat ketika ini membuatkan Nana perlu bijak bahagikan masa dan berikan sepenuh komitmen agar segala yang dirancang berjalan lancar.

“Insya-ALLAH jika tiada aral melintang, single terbaharu Nana akan muncul, selain lagu duet Nana dan Alif yang juga merupakan lagu tema drama Pengantin Musim Salju.

“Sekitar Ogos depan pula, Nana dan Alif akan bergandingan untuk menjayakan sebuah konsert istimewa kami di Singapura,” katanya.

Diajukan persoalan tentang kehidupan peribadi, Nana pantas mengelak kerana berasakan tiada apa yang istimewa untuk dikongsi.

Menafikan gosip yang pernah mengaitkan dirinya dengan pelakon dan pengacara Zoey Rahman, Nana mengakui lebih selesa hidup sendiri buat ketika ini.

“Nana dah Zoey sudah lama berkawan baik dan tidak pernah terfikir tiba-tiba boleh digosipkan mempunyai hubungan istimewa.

“Apa pun Nana tak kisah kerana faham dengan status solo ini, Nana mudah terdedah dengan gosip terutamanya jika rapat dengan mana-mana lelaki,” luahnya.
Siti Nordiana, Alif Satar siap sedia konsert di Singapura Siti Nordiana, Alif Satar siap sedia konsert di Singapura Reviewed by Kakigosip on 05:49:00 Rating: 5
Powered by Blogger.