Sayalah mak, sayalah ayah: Rita Rudaini

SEBAGAI proses mendisiplinkan diri, Rita Rudaini mengakui terpaksa bersikap tegas dalam membesarkan dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7 tahun.

Katanya, gelaran ibu tunggal juga membuatkannya menyedari akan tanggungjawab besar yang tergalas di bahu.

"Saya terpaksa bertegas. Membesarkan anak lelaki memang sangat mencabar.


"Masing-masing ada perangainya. Lagi pula, sayalah mak dan sayalah ayah," katanya pada Sinar Harian ketika ditemui selepas pelancaran program realiti, Oh My Family!.

Tambahan pula, selebriti berusia 41 tahun ini mengakui bimbang jika dua anaknya itu mudah terpengaruh dengan dunia luar.

Ini kerana, anak-anaknya itu bersekolah di sebuah sekolah antarabangsa yang mempunyai pergaulan sedikit terbuka.

                                 
"Saya terpaksa tegas supaya mereka takut.  Kadang-kadang, kalau nakal sangat sangat, kena juga cubit. Tapi, saya bukanlah mendera. Saya hanya mendidik.

"Lagipun, budak-budak sekarang ini advance. Semua mereka tahu.

"Saya pun dah pesan pada mereka, cuma boleh kiss dan pegang Mummy saja. Perempuan lain tak boleh. Saya takut sebab pergaulan di sekolahnya terbuka sikit," katanya.

Tidak hanya itu, Rita juga mengakui sangat memantau akan penggunaan laman sosial anak-anaknya itu.

"Instagram (IG) mereka saya yang buat. Sebab kawan-kawan sekolah mereka ada IG dan suruh mereka buat juga.

"Okay saya buat tapi saya yang handle semua. Mereka langsung tak boleh baca komen, cuma saya boleh tanya nak letak gambar apa," katanya.

Bahkan, katanya, semua mesej dan komen menerusi laman sosial anak-anaknya akan ditapis demi kebaikan mereka.

"Semua komen saya yang tapis. Tak boleh bagi mereka baca, bahaya!

"Jadi, yang mana DM (direct message) dalam IG itu, sayalah yang reply (ketawa).

"Alhamdulillah, buat masa ini mereka akur dan faham dengan syarat yang ditetapkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rita dan anak-anaknya bakal menjayakan program terbaharu, Oh My Family!

Selain keluarganya, program ini turut menampilkan gelagat anak-anak Datuk Fazley Yaakob, Datuk Aaron Aziz, Azad Jazmin dan Aziz M. Osman.

Ia bakal bersiaran di saluran Astro Ria (104), Astro Ria HD (123) dan Astro Ceria (611) pada setiap Rabu, jam 9 malam bermula 11 April depan.
Sayalah mak, sayalah ayah: Rita Rudaini Sayalah mak, sayalah ayah: Rita Rudaini Reviewed by Kakigosip on 05:31:00 Rating: 5
Powered by Blogger.