Sanggup berhabis untuk pakaian

Pemilihan pakaian bagi seseorang selebriti mungkin nampak remeh. Namun, ia memberi impak sangat besar dalam segala aspek untuk mereka.

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai selebriti menitikberatkan penampilan setiap masa. Mereka sanggup berhabis membeli pakaian untuk digunakan ketika penggambaran, persembahan atau menghadiri majlis hiburan.

Ternyata konsep sebegitu lebih memudahkan mereka, malah memberikan peluang buat selebriti menonjolkan identiti sendiri.

Selain itu, mereka juga bebas menggayakan pakaian mengikut keselesaan masing-masing.

Namun, mereka tidak terlepas daripada pandangan sinis yang menyifatkan sebagai berlagak atau perasaan ‘diva’.

Selain itu, ada segelintir suka bergantung kepada penajaan. Kalau boleh dari hujung rambut hingga hujung kaki, semuanya mahu ditaja.

Dari situ akan timbul isu seperti tidak puas hati apabila tidak berkenan dengan pakaian tajaan. Ia sekali gus mencetuskan sentimen kurang sihat dalam industri hiburan.

Ikuti pendapat empat selebriti popular mengenai perkara ini.

NAZIM OTHMAN

Bukanlah saya cuba berlagak sombong dengan penaja pakaian, tetapi memang selesa membeli ‘wardrobe’ sendiri.

Ia lebih menepati cita rasa saya dan memberikan kepuasan. Lagipun, buat apa saya nak berkira untuk kerjaya sendiri.

Ia sumber periuk nasi saya dan keluarga. Jadi, janganlah berkira sangat untuk kerja. Apa yang dilaburkan untuk diri sendiri juga. Bahkan, pakaian dibeli itu pun untuk sendiri yang pakai. Bagi saya, tidak perlu berkira.

Saya sudah ada lebih 20 sut untuk dipakai dalam drama Monalisa, tetapi apabila difikirkan ia rasanya perlu ditambah.

“Jadi, saya buat keputusan ke Vietnam dan membeli sebanyak 11 sut tambahan yang baru. Dianggarkan saya berhabis puluhan ribu ringgit juga.

Saya sudah terbiasa berdikari. Jadi, gaya rambut dan mekap pun buat sendiri. Lebih selesa.”

NABILA HUDA

“Bayaran lakonan yang saya terima sebahagiannya akan dibelanjakan untuk membeli pakaian yang dirasakan sesuai dengan watak bakal dijayakan.

Segelintir pendatang baru yang saya lihat tidak pernah memberi penekanan kepada perkara ini. Kebanyakannya mahu kelihatan cantik walaupun penampilan itu tidak sesuai dengan babak dijayakan.

Saya berlakon bukan kerana mengejar duit semata-mata, tetapi lebih kepada ‘seni’ itu sendiri.

Disebabkan itu, bagi memastikan apa yang dilakukan itu memberi impak kepada penonton, saya sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli pakaian sesuai.

Saya sangat malu sekiranya tampil dengan baju sama dalam beberapa babak untuk drama yang sama. Impak perlu ada pada penampilan pelakon dan ia tidak bergantung kepada lakonan bagus semata-mata.

Setiap perkara perlu diberikan penekanan dan penampilan turut mempengaruhi gaya lakonan seseorang pelakon.

Kalau kita mahu mengharapkan semua disiapkan produksi tidak boleh juga. Ini kerana kakitangan bahagian penata seni dan pakaian perlu melayan ramai lagi pelakon.

Usaha kecil yang pelakon itu sendiri lakukan akan membuatkan kerja menjadi mudah dan penggambaran boleh dilaksanakan dengan pantas.”

HAEL HUSAINI

Saya tidak kisah keluarkan duit sendiri untuk kerja. Anggap saja ia satu pelaburan untuk diri sendiri atau penjenamaan kita.

Tidak salah kita bergantung kepada baju penaja terutama apabila menghadiri acara besar. Ia memberi manfaat kepada dua-dua pihak sebenarnya.

Saya sendiri pernah ditegur di acara besar disebabkan menggayakan baju sendiri. Jadi, saya percaya ada masa-masa kita memang kena gunakan baju penaja.

Ada masa kita kena usaha sendiri dan tidak menyusahkan mana-mana pihak termasuk penaja. Kalau ada duit lebih, jangan kedekut untuk berbelanja.

Saya sendiri belum pernah ada masalah kerja dengan pereka Rizman Ruzaini. Ini disebabkan saya akan memberi kerjasama sepenuhnya sewaktu perbincangan pakaian dengan mereka.

Bagaimanapun, apabila meminta bantuan atau penajaan kalau boleh janganlah dibuat pada saat-saat akhir. Apabila nanti pereka itu berikan baju yang kita tidak berkenan, rasanya tak perlu sampai merungut pun.”

HANI FADZIL

Semestinya kalau ada penaja lagi senang. Tapi, apabila memakai baju sendiri sekurang-kurangnya kita boleh pakai ikut identiti sendiri.

Mungkin orang lain tak faham apa yang kita nak pakai. Setiap orang ada kriteria pakaian ditetapkan misalnya saya sendiri tidak suka pakaian terlalu seksi.

Perkara ini mengikut orang juga. Tidak mengapa kalau saya sendiri memang betul-betul memerlukan sesuatu baju atau gaun, saya akan cari jalan tanya pereka itu.

Bagaimanapun, saya memang dari dulu hingga sekarang jenis yang segan meminta. Melainkan, mereka sendiri yang tawarkan.

Cuma, jika membabitkan sesi fotografi yang memerlukan sesuatu konsep pelik, lebih baik mereka sediakan ‘wardrobe’. Sekurang-kurangnya, kami boleh membawa pakaian lebih untuk dipadankan atau sebagai ‘backup’.

Bagaimanapun, tanggapan mengenai artis ini selalu bergantung kepada penaja haruslah dibuang. Banyak juga yang kami buat sendiri dan saya pun cuba sedaya-upaya untuk tidak menyusahkan mana-mana pihak.”
Sanggup berhabis untuk pakaian Sanggup berhabis untuk pakaian Reviewed by Kakigosip on 05:24:00 Rating: 5
Powered by Blogger.