Rajinikanth datang Dataran Merdeka

BINTANG handalan Bollywood, Rajinikanth dijangka hadir pada acara Larian Maraton Mass mempromosi filem Tamil terbaru lakonannya, Kaala di Dataran Merdeka, 1 April ini.

Turut dijangka memeriahkan acara anjuran pengedar filem di Malaysia, DMY Creation itu adalah barisan pelakon Kaala.

Pengurus Besar DMY Creation, Veera Segar yakin filem arahan Pa Ranjith itu akan mencapai sukses besar di Malaysia berikutan Rajinikanth mempunyai ramai peminat di negara ini.

"Rajinikanth sudah menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya kerana mengetahui peminatnya juga ramai dalam kalangan Melayu.

"Malah, dia mempunyai kelab peminat sangat besar di Jepun. Selain Malaysia, Kaala juga akan ditayangkan di Singapura, Dubai, London dan Amerika Syarikat," katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Veera, Kaala menjadi filem Tamil asing pertama menyertakan sarikata Bahasa Malaysia.

"Sebelum ini cuma ada sarikata Inggeris saja. Kami menerima permintaan tinggi daripada penonton Melayu untuk meletakkan sarikata Bahasa Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pa Ranjith menyampaikan ucapannya menerusi rakaman video menjelaskan Kaala bukan sekuel filem Kabali yang turut diarah olehnya.

"Filem Kaala menggunakan kru produksi dan pelakon utama lelaki sama dengan Kabali cuma heroin berlainan," katanya.

Dalam Kaala, Rajinikanth membintangi watak sebagai Karikaalan iaitu ketua gangster digeruni di kawasan penempatan penduduk miskin.

Barisan pelakon lain Kaala adalah Huma Qureshi, Nana Patekar, Anjali Patil, Sukanya dan Samuthirakani.

Kaala akan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 27 April ini.
Rajinikanth datang Dataran Merdeka Rajinikanth datang Dataran Merdeka Reviewed by Kakigosip on 05:39:00 Rating: 5
Powered by Blogger.