Penerbit Terkilan Surf This Love Ditarik Keluar Panggung

Tayangan filem Surf This Love: Gelora Juara ditarik keluar daripada panggung kerana dikatakan tiada sambutan selepas hanya mampu bertahan selama seminggu di beberapa buah panggung.

Meskipun kecewa dengan keputusan tersebut, penerbit Amie Zhu, berkata dia akur dengan peraturan Syarat Wajib Tayang iaitu setiap filem yang ditayangkan perlu ditonton sekurang-kurangnya 15 peratus penonton untuk setiap kali tayangan.

Pun begitu dia berasakan tidak salah jika filem Melayu diberi peluang lanjutan tayangan kerana mereka perlu bersaing dengan filem antarabangsa yang ada di pawagam.

"Saya faham mengenai syarat wajib tayang itu, cumanya harap dapat dilanjutkan tayangan filem Melayu di pawagam kerana kita perlu bersaing dengan banyak filem luar.

"Ini adalah filem sulung saya, jadi perasaan teruja itu agak tinggi dan bila mengetahui satu demi satu pawagam menarik balik tayangan, terasa sedih pula," katanya seperti yang dilaporkan mStar online.

Dalam pada itu, Amie mengakui terkilan dengan nasib filem itu sedangkan pihaknya masih lagi giat melakukan promosi.

Malah dia ada menerima maklum balas daripada penonton mengatakan mereka mahu menonton filem itu awal bulan ini.

"Ada maklum balas yang diterima daripada penonton mengatakan mereka nak tonton awal bulan ini kerana baru dapat gaji tapi filem dah tak main lagi," katanya.

Filem berkenaan telah ditayangkan di 47 panggung sejak 22 Februari lalu dan sehingga kini hanya empat panggung masih memainkan filem tersebut.

Karya arahan Wan Mohd Hafiz Wan Hussain ini menampilkan barisan pelakon popular antaranya Shukri Yahaya, Christina Suzanne, Josiah Hogan, Pekin Ibrahim dan Ardell Aryana.

Surf This Love yang menelan belanja RM1.5 juta itu menjalani penggambaran di sekitar Pulau Tioman dan Bali, Indonesia.

Sementara itu, satu lagu filem iaitu Badang lakonan Datuk Seri Aliff Syukri juga dilaporkan telah ditarik dari tayangan kerana tidak mendapat sambutan penonton.
Penerbit Terkilan Surf This Love Ditarik Keluar Panggung Penerbit Terkilan Surf This Love Ditarik Keluar Panggung Reviewed by Kakigosip on 13:16:00 Rating: 5
Powered by Blogger.