Peluncuran Terumbang-Ambing ‘Surf This Love: Gelora Juara’

PENULIS memang memberikan pujian kepada pembikin filem dan pengkarya tempatan yang tidak pernah putus idea untuk memberikan santapan baharu buat khalayak filem di negara ini.

Walaupun risiko amat tinggi untuk menghasilkan filem yang luar daripada norma filem komersial yang sudah terlalu banyak dilambakkan, tetapi, ia menampakkan kesungguhan mereka dalam mempelbagaikan naskhah.

Dalam konteks ini, penulis memberikan contoh filem Surf This Love: Gelora Juara yang baru sahaja membuka tirai panggung pada 22 Februari lalu.

Bagi penulis, konsep dan tema sukan luncur air yang diketengahkan dalam filem Surf This Love: Gelora Juara ini boleh dianggap baharu walaupun realitinya, filem sebegini sudah banyak dihasilkan di luar negara terutama Hollywood.

Pun begitu, ia bukanlah satu kesalahan. Walaupun boleh dianggap sedikit ketinggalan, setidak-tidaknya idea asal oleh Amilaton Jamaluddin dan Khairul Kiasan ini wajar diberikan pujian kerana kesungguhan mereka untuk menampilkan pembaharuan.


Dalam erti kata lain, apa yang dilakukan oleh Surf This Love: Gelora Juara boleh dilihat sebagai mewakili suara anak muda yang memiliki minat dan naluri terhadap sukan luncur air yang boleh dilihat agak jarang diketengahkan.

Jika tidak, sinema tempatan akan terus berada dalam kepompong yang sama dengan tema filem yang klise seperti lumba kereta, kisah mat rempit dan cerita cinta remaja di kolej.

Berbalik kepada filem arahan Waan Hafiz (Mat Tudung, 2014) ini, jujurnya, penulis meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat karya ini untuk menjadi sebuah filem yang dapat memberikan perspektif baharu buat penonton.

Seperti mana filem Busker yang ditayangkan bulan lalu yang penulis anggap sebagai sebuah karya segar, begitulah juga apa yang penulis harapkan untuk Surf This Love: Gelora Juara.

Biar penulis ulas dari sudut positifnya dahulu. Harafiahnya, Surf This Love: Gelora Juara ada jiwanya tersendiri dalam mewujudkan sebuah senario yang dapat membuatkan penonton berada dekat dengan milieu filem ini.

Perkara yang penulis sifatkan tepat untuk filem ini adalah pemilihan pelakonnya yang memperlihatkan keserasian antara satu sama lain dan keseimbangan sesama mereka.


Sehubungan itu, Surf This Love: Gelora Juara berhak mendapat markah tambahan dari sudut itu. Penulis memberikan kredit kepada teraju utamanya, Shukri Yahaya sebagai Muhammad Razali Mokhtar atau Billy yang mempamerkan mutu lakonan yang konsisten dari awal hingga akhir.

Jika sebelum ini, Shukri kerap membawakan watak berat, tetapi kali ini, beliau memberikan persembahan yang secara kasarnya nampak santai tetapi sebenarnya bukan mudah untuk mengekalkan fokus lakonan itu sehingga ke garis penamat.

Begitu juga dengan lakonan bekas pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (2015), Pekin Ibrahim yang penulis merasakan wataknya sebagai bekas peluncur bernama Jimmy John memiliki karakter tersendiri dan dijayakan dengan baik oleh Pekin.

Bahkan, mutu lakonan pelakon wanitanya iaitu Cristina Suzanne sebagai Mia, Ardell Aryana (Lia) dan Syuhaida Abraz (Siti Nahila) juga berada pada paksi yang tidak mengecewakan walaupun bukan persembahan yang dapat melayakkan mereka menerima trofi.

Akan tetapi, perkara utama yang penulis perlu lihat dan utamakan adalah cerita dan lakon layarnya yang sebenarnya dinilai untuk memberikan markah tinggi dan sekali gus meletakkan ia sebagai karya terbaik.

Sehubungan itu, apa yang membuatkan Surf This Love: Gelora Juara tidak berupaya untuk menerima markah tinggi itu adalah disebabkan kelemahan garapan cerita dan lakon layarnya yang penulis anggap gagal meninggalkan impak sehingganya tiadanya momentum.


Masalah utamanya apabila konflik ceritanya bergerak dengan lambat lalu tidak berupaya memberikan klimaks yang sewajarnya mampu diberikan oleh Surf This Love: Gelora Juara.

Penulis tidak menafikan idea filem ini memang bagus dan sejurus selepas menontonnya, penulis berpendapat karya ini sebenarnya mampu berkembang dengan lebih luas jika dititik beratkan kepada garapan ceritanya.

Apa yang penulis lihat idea dan tema Surf This Love: Gelora Juara terutama membicarakan soal persahabatan, persaudaraan dan aspek positif dalam hidup memang cukup kuat.

Malangnya, perkara itu tidak berlaku dalam filem yang skripnya dihasilkan oleh Waan Hafiz sendiri bersama Shamsull Hazraei ini apabila semuanya hanya sekadar di permukaan dan tidak sampai ke dasarnya.

Penulis mengambil contoh watak Billy yang digambarkan sebagai seorang yang memiliki karakter gila-gila dan ceria. Dalam masa yang sama, dia memiliki keinginan untuk bergelar juara sukan luncur air seperti mana arwah abangnya, Bobby (Mustaqim Bahadon).

Tetapi, perkembangan watak Billy itu hanya berlegar kepada lontaran dialog dan bukannya kepada perlakuan untuk menjadi seorang juara sekaligus dapat menutup mulut mereka yang tidak yakin kepadanya termasuk Jimmy dan kakaknya sendiri.


Sehubungan itu, banyak momen penting yang dapat diwujudkan untuk mencantikkan lagi karya ini tidak berupaya dicipta kerana mementingkan adegan yang dirasakan tidak perlu lalu menyebabkan kerugian besar untuk karya ini.

Bukan itu sahaja, penulis yang menonton filem ini beberapa hari lalu terpaksa menunggu lebih satu jam untuk menunggu konflik dan drama yang akhirnya membuatkan penulis menggelengkan kepala sebagai tanda filem ini telah membazirkan peluangnya begitu sahaja.

Seperti mana yang penulis katakan di awal, Surf This Love: Gelora Juara boleh menjadi sebuah karya yang berkesan jika titik tumpuan itu lebih diberikan kepada watak Jimmy, Billy dan Mike Malaya (Josiah Hogan).

Ceritanya boleh dikembangkan dan menjadi lebih positif jika watak Jimmy itu digambarkan sebagai seorang yang tegas dan serius mahu melatih Billy menjadi seorang peluncur yang hebat lalu dapat menggantikan dirinya dan Bobby.

Malah, watak Jimmy itu juga sebenarnya dapat memberikan impak yang kuat juga diberikan peluang untuk menjadi seorang peluncur semula walaupun digambarkan sebagai seorang yang tempang selepas ditimpa kemalangan.

Barangkali rujukan itu boleh dibuat dengan menonton filem Soul Surfer (2011) yang memperlihatkan bagaimana seorang peluncur kurang upaya memiliki aspirasi tinggi untuk menjadi juara di sebalik kekurangannya walaupun filem berkenaan hanyalah sekadar biasa sahaja.



Dalam masa yang sama, naratifnya juga boleh digerakkan dengan memaparkan konflik antara Jimmy dan Billy yang tercetus apabila Mike kembali ke kampung halaman dengan membawakan aura negatif dan menjadi antagonis.

Untuk menambahkan elemen dramatik itu, barangkali naratifnya dikembangkan dengan  cabaran Mike yang mahu berlawan dengan mereka dalam satu perlawanan besar di Pulau Tioman (lokasi utama penggambaran filem ini) dan akhirnya menebus kembali kesalahan serta maruah yang tercalar.

Walaupun Surf This Love: Gelora Juara dikatakan sebagai sebuah karya komedi romantik, aura itu bagaimanapun tidak dapat dirasai kerana tidak wujud elemen berkenaan jika diambil dalam konteks perhubungan antara watak Billy dan Mia.

Menyentuh aspek teknikal pula, kelemahan ketara adalah dari sudut pengarahan terutama melibatkan babak di lautan dan di dalam air yang ternyata tidak menyakinkan. Penulis melihat hasil kerja berkenaan sebagai sambil lewa dan hanya sekadar mahu melakukannya bagi menyempurnakan ceritanya.

Sehinggakan untuk babak long shot atau syot jauh, jelas kelihatan watak peluncur itu adalah daripada aksi peluncur profesional dan disebabkan itu, teknik suntingan dan sinematografinya juga tidak kemas lalu mencacatkan babak-babak berkenaan.

Sayang seribu kali sayang untuk Surf This Love: Gelora Juara apabila garapan cerita yang lemah telah membuatkan keseluruhan filem ini tidak dapat menjadi sebuah santapan yang boleh membuatkan penonton tersenyum atau terbayang-bayang selepas keluar dari panggung.



Peluncuran Terumbang-Ambing ‘Surf This Love: Gelora Juara’ Peluncuran Terumbang-Ambing ‘Surf This Love: Gelora Juara’  Reviewed by Kakigosip on 22:16:00 Rating: 5
Powered by Blogger.