Laudya Cynthia Bella Terkilan, Kecewa Hasrat Tak Kesampaian

Selebriti popular, Laudya Cynthia Bella meluahkan rasa terkilan dan kecewa kerana hasratnya untuk mempamerkan tudung koleksi jenamanya buat pertama kali di Malaysia esok, sempena Minggu Fesyen Islamik Asia (AIFW2018) tidak kesampaian ekoran acara tersebut terpaksa ditangguhkan.

Menurut Bella, keterujaannya mahu memperkenalkan koleksi jenama hijab yang diberi nama 'Ranting' terbantut selepas penganjur dan pengasas iaitu Fuza Umar memaklumkan penangguhan festival itu pada saat akhir menerusi kiriman email. Sedangkan dia bersama pasukannya sudah bekerja keras membuat persiapan sejak beberapa bulan yang lalu.

"Sejak ditawarkan terlibat dengan acara ini, saya sangat teruja. Saya secara peribadi berasa bangga kerana perniagaan tudung saya ini belum pun sampai setahun tetapi berpeluang menyertai pelbagai acara pertunjukan fesyen bertaraf antarabangsa termasuklah AIFW di Malaysia. Ketika saya pulang ke Jakarta kelmarin, banyak media bertanyakan mengenai penglibatan saya untuk AIFW di sini.

"Malah sejak November tahun lalu, saya bersama rakan kongsi saya, pereka Ayu Dyah Andahari, kami bertungkus lumus membuat persiapan. Saya berasa kasihan dengan Ayu dan team di Jakarta, kerana mereka siang malam bekerja keras menyiapkan koleksi kami.

"Tetapi apabila hampir tiba hari show, kami dimaklumkan acara ini ditangguhkan. Saya hanya mendapat kiriman email dari penganjur pada 27 Mac lalu iaitu dua hari sebelum bermula hari acara," katanya kepada Malaysian Digest ketika ditemui di Plaza Damas.

Antara koleksi 'Ranting' by Laudya Cynthia Bella.Antara koleksi 'Ranting' by Laudya Cynthia Bella.

Walaupun pihak pengajur 'memujuk' dengan mengatakan mereka akan mengembalikan semula kos penginapan hotel dan tiket penerbangan, pun begitu kata Bella, bukan dari segi kerugian wang ringgit yang dialami yang dikesali tetapi masa dan tenaga dia bersama pasukannya yang sudah diperuntukkan untuk acara ini.

Mengakui berasa sedih, Bella bagaimanapun berkata dia menerima berita tersebut dengan tenang dan percaya pasti ada hikmah. Malah sebagai usahawan baru dia menganggap hal ini sebagai satu dugaan dan mengajarnya lebih berhati-hati pada masa akan datang.

"Kerugian material masih boleh di cari tetapi usaha, kerja keras, keterujaan serta semangat saya dan team di Jakarta, itu yang tidak boleh diganti. Pagi tadi saya sempat menelefon Ayu Dyah, kami berbual panjang dan kami menerima berita ini dengan ikhlas hati.

"Saya mendapat khabar, ada pereka lain dari Indonesia sudah tiba di sini sejak kelmarin. Mereka juga baru mendapat email dan terkejut dengan berita ini.

"Ada juga pereka fesyen dari negara lain juga sudah tiba, mereka tentu terkejut dan bayangkan semuanya pasti sudah teruja dan membuat pelbagai persiapan untuk acara ini," luahnya dengan nada kecewa.

Meskipun begitu, kekecewaannya terubat apabila dia mendapat khabar sambutan hangat diberikan kepada jenamanya yang dipamerkan di Minggu Fesyen Islamik Indonesia yang kini sedang berlangsung di Jakarta.

"Tetapi rasa kecewa saya berganti dengan khabar gembira kerana saya baru diberitahu team saya di Jakarta, sambutan tudung saya Alhamdulillah... sangat bagus dan mendapat respon positif di AIFW Indonesia. Mungkin ini juga kerana saya sudah ikhlaskan hati saya terhadap AIFW di Malaysia jadi ada hikmahnya," katanya sambil mengukir senyuman.

..

Malu, Anggap Penganjur Kurang Profesional

Dalam pada itu, Diana S, yang merupakan wakil pengedar tunggal jenama Ranting, berkata, dia berasa malu dan terkilan dengan sikap penganjur yang disifatkan kurang profesional.

Katanya, selepas mendapat email notis penangguhan itu dia cuba menghubungi penganjur menerusi telefon namun panggilan tidak dijawab. Kemudian dia menghubungi pihak MiTEC yang merupakan venue untuk pertunjukan fesyen tersebut, pihak berkenaan hanya memberitahu ruang untuk acara tersebut tidak dapat disiapkan.

"Saya berasa malu kepada Bella dan pasukannya di Jakarta kerana saya yang mencadangkan dan meyakinkan mereka untuk menyertai minggu fesyen ini di Kuala Lumpur.

"Apapun, kami akur dan menerimanya tetapi bagi kami cara penganjur mengendalikan perkara ini kurang profesional. Dia hanya mengirimkan email memaklumkan penangguhan tanpa memberi alasan sebenar dan penjelasan jadi membuatkan kami tertanya-tanya. Saya cuba menghubungi (Fuza) tetapi panggilan saya tidak dijawab.

"Kemudian saya cuba menghubungi MiTEC dengan tujuan mendapatkan maklumat lanjut mengapa AIFW2018 ditangguhkan? Saya diberitahu, ruang untuk acara itu tidak dapat disiapkan.

"Kami juga mendapat mesej daripada penganjur menjemput kami dan peserta lain ke sesi minum petang, esok. Saya harap kami akan diberikan penjelasan lebih lanjut mengenai penangguhan acara ini," kata Diana juga yang pertama kali menyertai AIFW.

AIFW2018 yang sepatutnya berlangsung pada 29 Mac (hari ini) sehingga 1 April bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur menghimpunkan lebih 30 pereka fesyen terkenal dan baru daripada seluruh Asia.

Antara pereka antarabangsa yang terlibat Bulbulia (South Africa) dan Kamiidea (Indonesia) dengan kolaborasi bersama Celessence UK dan pereka baru seperti Chic (Iran) dan Maryam Bakhtiari (Iran). Manakala barisan pereka fesyen dari Seberang termasuklah Kursein Karzai Jeny Tjahyawati dan Zainal Songket, Nina Nughoro dan Ivan Gunawan.

Selain itu, antara jenama luar negara yang terlibat seperti Faramas (Iran), Mukhitdinova Shokhida (Uzbekistan), Maya Cosmetic (USA), Berolin (Japan), Zahara (Singapore) dan Anjilla Seddeqi (Australia), Indah Ederra (Indonesia).

Dari Malaysia pula seperti Aidijuma, Syarifah Mudaim, Waarna dan Style Annexe Hashtag Hartamas termasuklah beberapa wajah baru seperti Mak Cun by Erma Fatima, Sofea Rose, Miraki, Maqilla, Daanya, Peace Collection, Hanees Hijabees dan Watie Collection.

Ini merupakan tahun kedua acara ini selepas kali pertama, AIFW2017, diadakan di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur.
Laudya Cynthia Bella Terkilan, Kecewa Hasrat Tak Kesampaian Laudya Cynthia Bella Terkilan, Kecewa Hasrat Tak Kesampaian Reviewed by Kakigosip on 04:50:00 Rating: 5
Powered by Blogger.