Konsert Armada tangguh

Kumpulan Armada yang popular dengan lagu Asal Kau Bahagia terpaksa akur apabila konsert Empire Live Present Armada Asal Kau Bahagia Tour khas di Kuala Lumpur ditangguhkan.

Konsert itu sepatutnya berlangsung di KL Live @ Live Centre pada 17 Mac ini, namun pihak penganjur iaitu Empire Live menjelaskan ia ditangguhkan bagi memberi laluan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangkakan diadakan tidak lama lagi.

Mewakili pihak Empire Live, Ganjar Tribowo memohon maaf kerana terpaksa menunda konsert berkenaan.

“Dengan rasa rendah diri, kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. Kami sudah berusaha memaklumkan perkara ini lebih awal.

“Konsert ini akan ditunda ke satu tarikh baharu yang akan kami umumkan kelak. Kami berharap semua pihak memahami perkara ini,” katanya.


Sementara itu, peminat yang sudah membeli tiket konsert boleh melayari laman sesawang airasiaredtic.com/armada_asal_kau_bahagia_tour bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Januari lalu, Armada yang sudah sedekad menghiburkan peminat dengan lagu mereka berkunjung ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan konsert serta melancarkan album kelima mereka.

Dalam satu temu bual, kumpulan itu meluahkan rasa gembira dengan penerimaan peminat di Malaysia yang menyokong karier mereka.

Konsert julung kali di Malaysia itu dilakukan dalam skala besar demi menghargai peminat dan meraikan ulang tahun ke-10 Armada.

Pada awal penubuhan sekitar 2007, kumpulan ini dikenali dengan nama Kertas. Membawakan genre pop, mereka muncul dengan album Kekasih Yang Tak Dianggap.

Bagaimanapun, percaturan mereka ketika itu tidak membuahkan hasil. Pada 2008, mereka menukar nama kepada Armada. Mempertaruhkan album Balas Dendam, lagu kumpulan terbabit mula diterima peminat.

Kumpulan Armada dianggotai Rizal selaku vokalis, Radha dan Mai (gitar), Endra (bass) dan Andit (dram).
Konsert Armada tangguh Konsert Armada tangguh Reviewed by Kakigosip on 20:26:00 Rating: 5
Powered by Blogger.