Kerja jujur, ikhlas prinsip Bell

PELAKON dan pelawak, Nasrizal Ngasri atau Bell, 37, mengakui tidak mempunyai sebarang perancangan untuk beralih ke bidang lain walaupun sudah lebih 30 tahun bergelar anak seni.

Katanya, sehingga ke hari ini dia masih seronok dengan kerjayanya dan akan meneruskan karier selagi kehadirannya dalam industri diterima baik oleh umum.

“Pada usia awal 20-an, saya pernah cuba bekerja di belakang tabir tetapi masih dipanggil untuk berlakon. Sebab itulah saya terfikir lebih baik terus fokus pada bidang lakonan.

“Kalau mahu buat kerja lain seperti pengarahan, rasanya agak sukar kerana jadual lakonan agak padat. Saya bimbang tidak dapat membahagikan masa dengan baik,” katanya.

Kekal relevan sehingga ke hari ini, sedikit pun Bell tidak berkecil hati walaupun dia lebih dikenali sebagai pelakon komedi.

Malah, dia bersyukur kerana masih dilimpahi dengan rezeki.

Bell terlebih dahulu dikenali dengan watak serius seperti karakter budak nakal dalam telefilem Pa’e pada 1998 dan sebagai Kesuma dalam filem Kaki Bakar.

“Saya tidak kisah kalau diberikan watak serius atau komedi. Saya adalah pelakon dan ia menjadi tanggungjawab saya untuk menjayakan apa saja watak diberikan.

“Saya sendiri tidak sangka masih bertahan sehingga ke saat ini. Apa yang saya lakukan adalah sentiasa jujur dan ikhlas ketika bekerja,” katanya.
Kerja jujur, ikhlas prinsip Bell Kerja jujur, ikhlas prinsip Bell Reviewed by Kakigosip on 06:35:00 Rating: 5
Powered by Blogger.