Kalau Nak ‘Offer’ Ammar Alfian, Watak Aksi Saja

PELAKON Ammar Alfian memberitahu dia mengambil keputusan kembali berlakon selepas dua tahun menyepikan diri kerana tertarik dengan tawaran filem aksi berjudul Paskal yang ditawarkan kepadanya.

Ammar atau Ammar Alfian Aziz, 31, berkata, tawaran itu disifatkan sebagai impian menjadi kenyataan kerana selama 10 tahun bergelar pelakon dia memang berharap dapat berlakon filem bergenre aksi.

“Kalau diikutkan saya sudah dua tahun tidak berlakon kerana sepanjang 10 tahun penglibatan, watak diberikan semuanya sama.

“Tetapi saya terus terima apabila ditawarkan berlakon dalam Paskal kerana filem aksi adalah impian yang tidak pernah saya dapat sebelum ini.

“Itu membuatkan saya ingin berlakon kembali selepas sekian lama,” katanya.

Ammar ditemui pada majlis pelancaran filem Paskal yang diadakan pada Jumaat.

Filem arahan Adrian Teh itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Hairul Azreen, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Paskal bakal menjalani penggambaran di Lumut, Perak, Semporna dan Maghribi.


Ia mengangkat kisah benar tentang pengorbanan dan semangat patriotik Pasukan Khas Laut (Paskal) Malaysia.

Dalam pada itu, Ammar berkata, penglibatannya dalam Paskal bukan bererti dia kembali aktif dalam bidang lakonan.

Sebaliknya jika ada tawaran lain selepas ini dia hanya akan menerima naskhah bergenre aksi sahaja.

“Dalam dua tahun ini banyak juga tawaran saya terima tetapi semuanya drama atau filem berbentuk romantik dan saya sudah tidak mahu berlakon watak sebegitu.



“Tetapi jika ia projek filem atau drama aksi  dan ada watak mencabar saya tidak keberatan.

“Jika tiada pun tidak mengapa kerana saya sekarang pun sibuk menguruskan pusat kecergasan di Damansara Perdana,” ujarnya.

Bercakap mengenai Paskal, Ammar berkata, persediaan sebelum penggambaran sangat mencabar apabila semua barisan pelakon perlu menjalani latihan intensif ketenteraan di sebuah kem tentera di Lumut selama tiga hari.

“Semasa di kem kami menjalankan latihan fizikal seperti mana tentera dan ia sangat mencabar.

“Tapi ia menyeronokkan kerana kami dapat latihan daripada pasukan Paskal yang sebenar sebelum memasuki set penggambaran,” katanya.



Kalau Nak ‘Offer’ Ammar Alfian, Watak Aksi Saja Kalau Nak ‘Offer’ Ammar Alfian, Watak Aksi Saja  Reviewed by Kakigosip on 22:40:00 Rating: 5
Powered by Blogger.