Izzue Islam cabar diri nyanyi lagu Bahasa Inggeris

TIDAK mahu menunggu lama selain mahu mencabar diri, pelakon dan penyanyi  Muhammad Izzul Islam Mazlan atau lebih dikenali dengan nama Izzue Islam, 28, bakal tampil dengan single terbaharunya yang berbahasa Inggeris berjudul ‘My City’ pada April ini.

Beliau yang baharu sahaja mengeluarkan single ketiganya, Muzik Tiduranku pada Januari lepas berkata lagu ‘My City’ itu menceritakan mengenai tempat kelahirannya iaitu Kota Bharu, Kelantan.

“Saya nak cuba ubah pandangan orang yang kata Kelantan tiada tempat hiburan. Sebenarnya  banyak tempat menarik, makanan dan budaya di Kelantan yang boleh kita terokai.


"Memang saya mahu mengangkat keindahan bumi Kelantan dengan bait-bait lirik yang menceritakan tentang makanan seperti nasi air dingin, pulut pagi, pantai Irama, jeram Lenang, kebudayaan seperti wayang kulit dan gasing uri," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam rancangan temu bual Nine11 terbitan Bernama News Channel hari ini.

Beliau berkata, lagu itu dicipta dalam bahasa Inggeris bagi memberi peluang mempromosi lagu itu kepada pelancong luar negara walaupun terdapat cabaran dalam menghasilkan lagu berentak alternatif pop rock tersebut.

“Sebutan lirik itu yang menjadi masalah sebab saya pun tidak fasih berbahasa Inggeris. Dua kali saya rekod lagu ini. Selepas rekod kali pertama, kami dapati ada kesalahan sebutan dan bila dirujuk pada yang lebih pakar, kami setuju untuk rekod buat kali kedua,” kata Izzue yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-25.

Beliau menambah lagu itu diciptanya sendiri bersama isteri yang juga pengurusnya, Awin Nurin.

Mengulas mengenai lagu Muzik Tiduranku, beliau berkata lagu itu digubah istimewa untuk isterinya.

"Lagu itu dah keluar sejak Januari dan Alhamdulillah dapat sambutan yang baik. Lagu itu juga sudah mula dimainkan di radio.

Dalam pada itu, Izzue berkata beliau akan memulakan pengambaran di Perth, Australia untuk slot Akasia, Jangan Benci Cinta yang dijangka ditayangkan selepas hari  raya.

"Saya baru  selesai penggambaran untuk drama Tok Adi untuk siaran di Astro Oasis dan Maya HD. Seterusnya saya mula dengan penggambaran telemovie raya, Din Sardin dan drama Din Sardin untuk 12 episod selepas raya,” katanya.
Izzue Islam cabar diri nyanyi lagu Bahasa Inggeris Izzue Islam cabar diri nyanyi lagu Bahasa Inggeris Reviewed by Kakigosip on 05:47:00 Rating: 5
Powered by Blogger.