Imbau kembali zaman kegemilangan

Penyanyi irama dangdut Tushee antara yang mencuri perhatian peminat pada era 1990-an lalu.

Antara lagu popularnya yang masih diingati ialah Katakanlah Kepadaku dan Amboi Malu.

Selepas berkahwin dan bertudung, pemilik nama sebenar Rohayatusshima Mohamad Aris ini memperlahankan aktiviti seninya dan memberi tumpuan kepada keluarga.

Tushee ketika dihubungi berkata, tiada istilah bersara dari bidang nyanyian yang sudah sebati dengan dirinya sejak dulu.

“Selepas berhijab, saya masih memenuhi undangan persembahan dari pelbagai pihak. Cuma saya memperlahankan aktiviti nyanyian kerana anak semakin membesar dan perlukan lebih perhatian,” katanya yang memiliki dua anak iaitu Muhammad Danish Adam, 11, dan Kay Isa Nur Dania, 2.

Tushee yang turut terbabit dalam perniagaan berkata, dia merancang menghasilkan album yang mengimbau kembali zaman kegemilangannya bersama rakan artis era 1990-an.

“Saya dan rakan artis seangkatan bercadang buat ‘comeback’ dengan menampilkan lagu popular masing-masing.

“Saya dapat rasakan peminat masih menantikan kemunculan semula kami dalam bidang hiburan tanah air. Pada masa sama, maklum balas daripada peminat juga memberansangkan dan lagu popular saya seperti Katakanlah Kepadaku dan Amboi Malu masih dimainkan di stesen radio,” katanya.

Rancang single baru

Tushee mengakui kehadirannya dalam bidang seni tanah air bersandarkan minat mendalam dan bakat dianugerahkan Tuhan.

Menurut Tushee, pada awal kemunculannya dalam bidang hiburan dulu mempertaruhkan genre pop komersial.

“Namun, pada zaman kegemilangan lagu dangdut, saya muncul dengan lagu dangdut iaitu Amboi Malu dan terus meniti di bibir peminat ketika itu.

“Sebenarnya, saya juga ingin menyanyi dengan pelbagai genre lagu dan bukan irama dangdut saja,” katanya.

Mengenai single baru pula, kata Tushee, ia masih dalam perancangan.

Tushee pernah muncul dengan empat album sebelum ini. Kali terakhir, Tushee pernah muncul dengan album Bukan Mudah Merawat Luka yang juga dangdut remix.

“Insya-Allah, jika ada ruang dan peluang, saya juga merancang untuk buat single baru.

“Genre lagu pula, lebih catchy dan sesuai dengan cita rasa peminat.

“Saya juga pernah berduet dengan artis muda tempatan dalam persembahan, tetapi untuk buat single duet belum lagi,” katanya.
Imbau kembali zaman kegemilangan Imbau kembali zaman kegemilangan Reviewed by Kakigosip on 05:27:00 Rating: 5
Powered by Blogger.