‘Ibu kena tolong kak Alina'

PENYANYI Siti Sarah Raisuddin menegaskan, dia memilih juara Sinaran Passport Kegemilangan 1996 sebagai protégénya bukan hanya dasar simpati semata-mata.

Sebaliknya, ujar Sarah ketika ditemui pada sesi FB Live bersama Sinar Harian, dia terpanggil untuk membantu kerana bakat besar yang dimiliki oleh Alina Hassan.

"Tidak dinafikan ketika sesi uji bakat, yang datang semua boleh menyanyi. Tapi yang saya pilih adalah mereka yang berjaya menjentik hati saya.

"Masa saya dengar kak Alina nyanyi, saya rasa familiar dengan dia. Tapi bila saya tengok pekerjaan terkininya, saya memang terkejut dan sebak.

"Kak Alina ada penjiwaan nyanyian yang sangat berat dan kebanyakan bakat baru tak ada faktor itu.

"Bila berbincang dengan team saya, termasuk Shuib, Shuib kata kepada saya, 'ibu kena tolong kak Alina'.

"Sejujurnya kisah pekerjaan dan hidup dia adalah nombor dua dan tiga tapi bakat dan nyanyiannya adalah yang sebab pertama saya pilih dia," jelasnya.

Selain Alina, Sarah juga turut memilih anggota polis, Ayie, sebagai protégénya.

Sarah berkata, walaupun Alina berani untuk mencuba nasib, namun keyakinan dirinya sebenarnya sudah berkurang.

"Bila saya jumpa, keyakinan diri dia memang kurang. Tapi saya nampak semangat dia, sebab itu saya yakin untuk bantu dia dan dia juga perlukan seseorang untuk bimbing dia kembali.

"Saya pernah cakap pada kak Alina, kalau seorang memang susah kita nak pergi jauh. Tapi bila kita ada kumpulan, mereka akan tegur kita supaya kita ada pembaharuan," ujarnya.


Menyelusuri perjalanan hidup Alina, 51, sebelum ini, Sarah berkata ibu kepada empat orang anak itu pernah meninggalkan industri seni buat seketika, namun bakat dan minat yang mendalam telah membawa dirinya kembali.

"Selepas berkahwin, dia ambil keputusan untuk memberi tumpuan pada keluarga. Tapi minatnya tak pernah padam. Walaupun dia buat kerja lain tapi bila kita ada bakat, walaupun tak nak menyanyi lagi, tapi akhirnya kita tetap akan nyanyi.

"Untuk masih boleh berdiri di atas pentas tanpa bantuan sesiapa memerlukan kekuatan yang hebat dan saya sangat bangga dengan dirinya.

"Macam saya juga semasa lama menghilang, kerana suara saya juga hilang, saya tetap nyanyi juga. Jawapan ini mungkin sama pada semua penyanyi, tapi itulah kenyataannya," ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata ini.

Ditanya bagaimana Sarah mahu membimbing orang lebih berusia darinya, penyanyi berusia 35 tahun ini berkata, mereka akan berkongsi pengalaman masing-masing dalam berjuang mengharungi Mentor Otai.

"Bila suara saya hilang dulu, saya banyak belajar terutamanya secara praktikal. Dulu sebelum menyanyi tak ada nak warm up, tapi bila saya berlatih untuk mendapatkan suara, ia sudah jadi habit dan rupanya sesi warm up itu bagus sebelum menyanyi.

"Tidak dinafikan pada awalnya saya agak bimbang dan pernah terfikir bagaimana nak membimbing mereka yang lebih berusia dan boleh ke mereka cepat tangkap.

"Tapi bila dah bermula, ternyata kak Alina seorang yang fast leaner.

"Awal-awal lagi saya dah mintak maaf dan bila berada dalam kelas, kami tak lihat pada faktor umur. Apa yang saya ada dan tahu saya cuba bantu," ujarnya.

Selain Sarah, Mentor Otai menampilkan Zarul Husin, Misha Omar dan Tam selaku mentor.

Program yang dikendalikan oleh Haziq (Hot FM) dan Elly Mazlein tersebut bersiaran secara langsung di TV3 pada setiap Ahad pukul 9 malam bermula 18 Mac lalu dari Plaza Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, tempat kedua RM50,000 manakala tempat ketiga RM20,000.

Dalam perkembangan lain, Sarah berkata, dia akan keluar dengan single terbaru, yang juga hadiah buat peminat tersayang yang sudah lama menantikan karya terbaru darinya.

Menjawab soalan dari salah seorang peminat, Sarah berkata, dia juga ada merancang untuk mengeluarkan sebuah single bersama suaminya dan hanya menanti waktu sesuai untuk berbuat demikian.
‘Ibu kena tolong kak Alina' ‘Ibu kena tolong kak Alina' Reviewed by Kakigosip on 05:56:00 Rating: 5
Powered by Blogger.