'Dulu orang kata dia kayu, sekarang kayu itu sudah lembut'

SEJAK awal penglibatannya di dalam industri seni, ramai yang melabelkan, Fattah Amin sebagai pelakon kayu.

Bagaimanapun Hero Malaya, Datuk Rosyam Nor dan pengarah prolifik, Syafiq Yusof mempunyai pendapat berbeza mengenai aktor berusia 28 tahun itu.

Menurut Syafiq, sepanjang penglibatannya selaku pengarah filem, dia pernah berdepan dengan selebriti yang benar-benar pandai berlakon dan Fattah jauh lebih baik daripada selebriti tersebut.

"Saya suka cabaran dan bila ada orang kata Wak Doyok tak pandai berlakon, saya tetap ambil dia. Saya polish dia hari-hari dan cuba sampai sampai dapat. Alhamdulillah ramai memuji lakonan Wak Doyok dalam Abang Long Fadil 2.

"Begitu juga dengan Fattah, dia tidaklah teruk berlakon dan tidak memerlukan saya buat sesuatu babak tu banyak kali. Tapi Fattah ada kemahuan untuk tunjuk sisi dia yang berbeza.

"Tak ada kesusahan untuk mengarahkan dan saya suka lakonannya dalam filem ini kerana nampak perbezaan," ujar Syafiq ketika ditemui pada Malam Gala Filem KL Special Force di MM Cineplex, Mutiara Damansara, semalam.

Sependapat dengan Syafiq, Rosyam berkata, setiap orang ada permulaan dalam hidup dan tidak semua pelakon bermula dengan lakonan yang mantap dalam karier mereka.


"Apa yang orang cakap pasal dia dulu, saya rasa dulu saya lagi teruk. Masa permulaan karier saya sebagai pelakon, saya rasa dialog 'oh peperiksaan' akan buat orang ketawa sampai sekarang.

"Bila saya bekerja dengan Fattah, saya nampak dia cukup komited. Fattah tahu di sampingnya ada orang yang terbaik dan bersungguh bekerja.

"Saya nampak dia ada masa depan. Dulu orang kata dia kayu, tapi sekarang kayu itu sudah lembut," katanya disambut sorakan.

Rosyam dan Fattah bergandingan dalam filem terbaru arahan Syafiq, KL Special Force. Selain mereka, turut sama berlakon dalam filem ini adalah Syamsul Yusof, Tania Hudson, Puteri Balqis, Mustaqim Bahadon, Josiah Hogan, Ramona Zamzam, Shaharudin Tambi, Esma Danial dan ramai lagi.

Filem yang menelan belanja RM4 juta ini akan menemui penonton di pawagam 8 Mac ini.
'Dulu orang kata dia kayu, sekarang kayu itu sudah lembut' 'Dulu orang kata dia kayu, sekarang kayu itu sudah lembut' Reviewed by Kakigosip on 20:12:00 Rating: 5
Powered by Blogger.