Dua tahun lagi, Anuar Zain 50 tahun...

DUA tahun lagi, penyanyi bersuara emas yang menjadi kegilaan ramai wanita, Anuar Zain bakal menginjak usia 50 tahun.

Untuk itu, figura ini telah mula merancang sesuatu yang istimewa.

"Alhamdulillah setelah genap usia 48 tahun, apa yang saya harapkan tahun ini, saya akan diberikan kesihatan yang baik supaya saya dapat meneruskan untuk berkarya, Insya Allah.

"Malah apabila usia saya 50 tahun nanti, saya merancang untuk memberikan sesuatu yang istimewa buat peminat," katanya.

Tambah penyanyi yang pernah hit dengan lagu Lelaki Ini dan Sedetik Lebih, dia tidak kisah untuk bekerja keras demi peminat yang tidak pernah lelah memberikan sokongan padu buatnya.

"Selagi berkemampuan dan ada rezeki, saya akan bekerja kuat untuk peminat, biarpun mungkin mereka tidak menyedari perkara ini.

"Bagi saya, apa salahnya saya berusaha lebih sedikit dan bekerja kuat untuk mereka," jelasnya

Oleh itu, Anuar bersama Zamani (Slam) dan penyanyi dari Singapura, Fauzie Laily akan mengadakan sebuah persembahan amal,  'An Evening With The Stars juga sempena sambutan Hari Ibu.

Majlis istimewa tersebut akan diadakan pada 6 Mei di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru,  bermula pada jam 8 malam.

"Saya akan membuat persembahan selama 45 minit dan saya akan sampaikan antara tujuh ke sembilan buah lagu.

"Istimewanya nanti, saya juga akan turut menyampaikan sebuah lagu dengan iringan piano," ujarnya.

Tiket berharga RM298, RM398, RM598, RM798, RM998 dan RM1,598, dan mereka yang berminat boleh mendapatkan tiket mereka dengan melayari www.ticketcharge.com.my.

Bukan itu sahaja, hasil jualan tiket tersebut akan disumbangkan kepada golongan memerlukan melalui Yayasan Lace Dato Rokiah.

Yayasan itu ditubuhkan untuk membantu orang kurang berkemampuan, anak-anak yatim, warga emas dan ibu tunggal di Johor Bahru.
Dua tahun lagi, Anuar Zain 50 tahun... Dua tahun lagi, Anuar Zain 50 tahun... Reviewed by Kakigosip on 20:12:00 Rating: 5
Powered by Blogger.