Bell suka melawak

Lebih 30 tahun memahat nama sebagai pelakon, Nasrizal Ngasri atau Bell terlebih dahulu dikenali kerana keupayaannya bermain dengan emosi penonton menerusi watak berat seperti orang kurang upaya (OKU) atau gelandangan.

Bagaimanapun, sifat semula jadinya yang suka berjenaka membuatkan dia mula diberi kepercayaan membawa watak komedi.

Setakat ini, tidak pernah sekali pun Bell gagal menyempurnaakan kehendak pengarah. Malah, generasi baru lebih mengenalinya sebagai pelawak.

Bell akur dengan tanggapan itu, malah bersyukur kerana sehingga hari ini umum masih menerima kehadirannya.

“Kalau diikutkan, saya sendiri tidak sangka masih bertahan sehingga ke hari ini. Perjalanan saya dalam karya komedi bermula apabila ada pengarah berasakan saya mampu berlakon dalam genre komedi kerana sifat semula jadi yang suka melawak.

“Melihat kebiasaan sekarang ini, apabila seseorang pelakon itu berjaya membawakan sesebuah watak itu dengan baik, dia akan terus diberi kepercayaan untuk melakonkan watak yang lebih kurang sama.

“Jika diminta membawa watak serius, saya boleh lakukan dan ia bukanlah masalah buat saya. Jika terus diberikan watak komedi, saya juga tidak berkecil hati. Itu semua adalah rezeki saya. Asalkan ada tawaran kerja, itu sudah memadai,” katanya.

Abang kepada pelakon Darling dan Anne Ngasri ini berkata, dia tidak mempunyai resipi tertentu untuk kekal relevan dan terus diterima ramai.

Baginya, dia hanya jujur dan ikhlas dalam setiap kerja dilakukan.

Walaupun 30 tahun bukan tempoh yang singkat, Bell sekalipun tidak pernah bosan dengan apa yang dilakukannya. Malah, dia seronok dan belum terfikir untuk beralih bidang.

“Tidak ada apa-apa perkara khusus yang saya buat untuk kekal bertahan sehingga ke hari ini. Bagi saya, kalau mahu kekal lama harus ada ‘passion’ dan nilai kejujuran. Biar ikhlas bekerja.

“Sampai saat ini, saya seronok bergelar pelakon. Selagi khidmat saya sebagai pelakon diperlukan, saya tidak akan berubah bidang. Saya ‘enjoy’ dengan apa yang saya buat,” katanya.

Pada usia awal 20-an, Bell pernah cuba beralih arah dengan menjadi seorang pengarah. Namun, dalam tempoh itu dia masih menerima pelbagai tawaran berlakon.

Situasi itu membuatkan dia berfikir untuk meneruskan kerjaya lakonan.

Kata Bell, berlakon saja sudah mengambil masa yang panjang, tidak ada ruang buatnya untuk menjadi pengarah.

“Ada suatu ketika, saya hilang sekejap kerana ingin menjadi pengarah. Bagaimanapun, ketika itu masih ramai yang menawarkan peluang berlakon. Saya mula berfikir, kenapa tidak teruskan saja bidang lakonan.

“Buat masa ini, saya hanya menumpukan fokus pada lakonan. Bidang itu sudah banyak mengambil masa saya, memang tidak ada ruang lain untuk cuba ke cabang seni lain,” katanya.
Bell suka melawak Bell suka melawak Reviewed by Kakigosip on 07:03:00 Rating: 5
Powered by Blogger.