Bazli UNIC, bakal tulis buku untuk arwah anak

PENGKONGSIAN Bazli UNIC di laman Instagram mengimbas kembali tentang ujian yang pernah menimpa keluarga apabila anak sulungnya, Muhamad Syahid disahkan menghidap kanser Limfoma mengundang simpati ramai.

Malah rata-rata netizen turut memberikan kata-kata positif selain doa agar Bazli dan keluarga tabah menjalani kehidupan tanpa Syahid yang telah meninggal dunia ketika berumur empat tahun, pada 7 Jun tahun lalu.

“Pada hari ini,  status saya setahun lalu. Ujian saya sekeluarga tahun lalu. Berdebar saya bila buka Facebook pada hari ini sebab saya tahu gambar yang keluar adalah kenangan liku-liku apa yang kami sedang hadapi dan ujian anak tercinta Syahid sedang sakit.

“Masa Syahid baru lepas diagnos. Hasil ujian doktor sahkan Syahid ada kanser Limfoma. Apa perasaan kami waktu itu bila doktor jumpa dan bagitahu akan hal sebenar ini? Status yang saya tulis pada hari itu, itulah yang kami rasa,” katanya menerusi kapsyen yang ditulis pada sekeping gambar yang memaparkan tentang penyakit arwah anaknya itu.

Menurut Bazli lagi, gambar yang dikongsikan itu adalah dirakamkan sebelum Syahid memulakan proses rawatan kimoterapi.

“Selepas kimo habis semua merosot kesihatan Syahid hinggalah saat saya mandikan jasad Syahid. Masa itu terserlah semula wajah manis Syahid.

“Mungkin ramai yang sedang baca status ini juga sedang diuji kesihatan anak. Tabah dan bersabarlah.. Hadapilah dengan kental. Yang pernah hadapi saja tau.

“Memang ALLAH nak uji kita, nak tengok iman kita. Lagi sedih lagi ingat ALLAH, lagi down lagi sebut ALLAH,” ujarnya yang turut memberikan nasihat kepada mereka yang senasib.

Dalam pada itu, Bazli turut berkongsi bakal menulis sebuah buku yang didedikasikan khas buat anak lelakinya itu, Syahid Bintang Syurga.

“Cerita lebih panjang dan terperinci saya akan muatkan dalam buku istimewa Syahid Bintang Syurga,” katanya.
Bazli UNIC, bakal tulis buku untuk arwah anak Bazli UNIC, bakal tulis buku untuk arwah anak Reviewed by Kakigosip on 22:08:00 Rating: 5
Powered by Blogger.