Ayuh 'gegar' malam ini!

Nama kumpulan rock SYJ dan Junction tidak perlu diperkenalkan lagi kerana kedua-duanya mula bertapak dalam bidang seni sejak pertengahan 1980-an dan masih aktif hingga sekarang.

Rampage yang diterajui pemain dram dan pengasas Search, Yazit pula menampilkan barisan pemuzik berpengalaman iaitu Moq (penyanyi), Rithan (gitar), Zham (bass) dan Jemboo (gitar) yang pernah bersama kumpulan lain sebelum ini.

Tiga nama hebat ini digandingkan di atas satu pentas dalam konsert Rock Attack! Revival Rock Malaysia di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, jam 8 malam ini.

Tidak hanya menggandingkan tiga kumpulan itu, ia turut menampilkan kumpulan yang terdiri daripada anak muda, Floor 88 yang popular dengan lagu Zalikha bagi memeriahkan lagi persembahan berskala besar ini.

Junction yang dianggotai Hatta selaku penyanyi, Man (gitar), Misman (dram) dan Syed Mohammad (bass) menghasilkan album pertama berjudul Arah pada 1988.

SYJ kini dianggotai Alang sebagai penyanyi, Jay (gitar), Mansuria (gitar), Wan (bass), Doy (dram) dan Wan (keyboard). Mereka popular dengan lagu Hati Syaitan dan Orang Timur.

Rampage pula baru menghasilkan album sulung berjudul Rampage Rempuh yang dilancarkan Oktober lalu dan berjaya memberikan impak tersendiri dalam arena rock tempatan.

Konsert ini diadakan secara percuma di bawah program Kuala Lumpur Ceria anjuran Unit Muzik Jabatan Kebudayaan Kesenian Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Koordinator Program Ahmad Abdullah berkata, tujuan konsert ini diadakan untuk mengaktifkan kembali Panggung Anniversari sebagai pentas hiburan popular sekitar 1970-an hingga 1990-an lalu.

“Generasi terdahulu tentunya tahu tempat ini pernah menjadi lokasi utama persembahan pentas kumpulan otai seperti Sweet Charity, Search dan Wings.

“Kami mahu menghangatkan kembali zaman kegemilangan era rock 1980-an dengan menampilkan SYJ, Junction dan Rampage. Muzik mereka masih mampu menggamit peminat dan mempunyai impak tersendiri terhadap perkembangan muzik tanah air sehingga kini.

“Ia sudah menjadi muzik kegemaran golongan marhaen dan masih segar di ingatan semua walaupun ada sesetengah lagu atau kumpulan sudah berusia lebih 20 hingga 30 tahun,” katanya.

Menurutnya, konsert yang bakal dihoskan Lando Zawawi ini turut menampilkan pelbagai selingan seperti pertunjukan solo gitar, pertandingan Pakaian Paling Rock dan cabutan bertuah apabila hadiah utamanya ialah sebuah gitar vintage Epiphone yang ditandatangani selebriti rock.
Ayuh 'gegar' malam ini! Ayuh 'gegar' malam ini! Reviewed by Kakigosip on 05:27:00 Rating: 5
Powered by Blogger.