Awal-awal lagi suasana dah 'panas'

Identiti tersendiri dan karakter muzik Spider yang ditampilkan Tam selaku vokalis, Nafi (gitar), Ayie (dram) dan Is (bass) sememangnya unik dan berbeza daripada kumpulan lain sekali gus meletakkan mereka dalam kelas tersendiri.

Tidak hairanlah apabila Spider kerap berjaya menarik perhatian peminat setiap kali mengadakan persembahan di mana-mana lokasi.

Terbaru, Spider yang gemilang menerusi lagu Aladin, Relaku Pujuk, Nazraku, Gosok dan banyak lagi berjaya memukau peminat dengan persembahan bertenaga dan hebat di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Tanpa publisiti dan gembar-gembur yang hebat di media cetak dan elektronik, konsert Spider & Lampu Ajaib anjuran Mrs Production dengan kerjasama stesen radio Hot FM dan Kool FM ini berjaya menggamit kehadiran hampir 500 peminat.

Mereka ternyata merindui lagu berhantu Spider terutama Aladin, Gosok, Relaku Pujuk, Laukku Cukup Masin dan Mungkinkah Terjadi.


KEUNIKAN vokal Tam dan elemen muzik rock dan ska menjadikan persembahan Spider cukup menarik.
Awal-awal lagi suasana dalam Auditorium MaTic sudah panas apabila Spider memulakan persembahan dengan lagu Ajaib, Kau Saja, Ngam Ho, Dahku Faham dan Hidupku.

Tidak ketinggalan apabila mereka turut menyampaikan lagu Mabuk, Cinta Dewa Dewi, Tony Gila Lucy dan Tapi Bagaimana sebelum menghabiskan segmen pertama.

Dapat diperhatikan peminat tidak duduk diam kerana sibuk menyanyikan sama bait lirik yang dinyanyikan. Tidak kurang, ada yang menggoyangkan badan serta merakamkan momen indah persembahan Spider menerusi telefon pintar masing-masing.

Segmen kedua dimulakan dengan lagu Mungkinkah Terjadi dan kali ini suasananya semakin gamat kerana tanpa disuruh, peminat turut sama menyanyikan lagu berentak slow rock ini.

Melihatkan penonton yang semakin larut dengan keseronokan, Tam meminta mereka berdiri kerana persembahan mereka akan nampak lebih hidup dengan cara ini.

Seterusnya Spider terus mengocak perasaan peminat dengan lagu Kasih Latifah dan Waduh Tijah yang dipetik daripada album terbaru mereka, Ankabut yang membawa maksud labah-labah dalam bahasa Arab.

Persembahan Spider turut diserikan dengan pemuzik undangan iaitu Rejab sebagai peniup trombon, Firdaus (keyboard) dan Pa’ang Zaman (perkusi dan gendang) yang banyak membantu mewarnai persembahan mereka.

Yang ditunggu-tunggu peminat akhirnya tiba apabila Spider tampil dengan lagu Laukku Cukup Masin, Relaku Pujuk, Aladdin dan Nazraku.

Boleh dikatakan Tam tidak perlu bersusah payah menyanyi kerana semua peminat yang hadir menyanyikan lagu ini dari mula sehingga tamat.


BANYAK lagu Spider menjadi siulan peminat.
Inilah bukti keistimewaan idea Tam dan anggota Spider kerana berjaya menghasilkan lagu yang menarik dan puitis selain dibantu oleh lirik hebat Allahyarham Loloq ketika itu.

Ketika bersiap sedia untuk meninggalkan pentas sebaik menyanyikan lagu terakhir, peminat menjerit tanda mahu menikmati lagi persembahan Spider.

Tam tidak menghampakan mereka apabila menyanyikan lagu Mentera Semerah Padi buat peminat.

Ditemui pada sidang media yang diadakan, Tam mengakui agak gementar kerana Spider jarang muncul mengadakan persembahan besar.

“Memang lama Spider tak beraksi. Keluar album pun setahun atau dua tahun sekali. Saya jangkakan persembahan ini tiada sambutan tapi nampaknya jangkaan saya meleset.

“Bagaimanapun, sebenarnya perkara ini bukan persoalan kerana sebagai satu kumpulan, kami tetap perlu beraksi sama ada peminat ada atau tidak,” katanya.

Menurutnya, Spider sendiri terharu dengan sambutan yang diperlihatkan peminat terhadap mereka.

“Perancangan untuk persembahan ini tak lama kerana hanya dibuat dua minggu sebelum ia berlangsung. Masa yang ada sangat terhad dan kami ambil ini sebagai cabaran untuk buat yang terbaik.

“Kami tak sorokkan persembahan ini buat peminat. Antara sebab ia diadakan adalah rentetan daripada kelahiran album Ankabut tahun lalu.

“Pelancarannya dibuat oleh Luncai Emas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim. Mungkin ada peminat tak perasan mengenai album ini dan itulah sebab persembahan ini diadakan,” katanya.
Awal-awal lagi suasana dah 'panas' Awal-awal lagi suasana dah 'panas' Reviewed by Kakigosip on 05:49:00 Rating: 5
Powered by Blogger.