Andi cari strategi baru

Tahun lalu nama penyanyi Andi Bernadee tular ketika dia menyanyikan lagu Tak Tun Tuang dendangan asal penyanyi Indonesia, Upiak.

Malah, video yang dimuat naik Andi di YouTube juga ditonton lebih 1 juta dalam tempoh beberapa hari.

Namun, entah di mana silapnya, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 27, masih kurang menyerlah seperti kebanyakan penyanyi baru lain atau Budak Baru Nak Up (BBNU).

Menyedari hakikat itu, Andi akui ketiadaan single atau lagu baru menyebabkan namanya secara perlahan-lahan senyap begitu sahaja.



“Sejujurnya, saya pun tidak tahu kenapa single kedua lambat biarpun sebelum ini saya sudah memaklumkan mengenai perancangan ini.

“Dalam masa sama, saya bergantung kepada syarikat rakaman. Jadi, kena tunggu perancangan daripada mereka. Saya nak bercakap lebih pun susah juga. Sebagai artis, saya ikut saja apa yang sudah diatur.

“Mungkin mereka ada strategi terbaik untuk saya. Jadi, saya berharap segala yang dirancang berjalan lancar. Saya pun naik segan apabila setiap kali ditanya mengenai single baru. Apa saya boleh katakan, tunggu,” katanya.

Andi yang dicungkil bakatnya menerusi aplikasi muzik Smule beranggapan sebaiknya single itu diterbitkan ketika namanya sedang hangat diperkatan.

Namun, Andi akur apabila perkara itu tidak dapat dilaksanakan dan terpaksa memasang strategi baru untuk memancing peminat supaya terus kekal bersamanya.

“Kalau semasa tengah tular keluar lagu baru, pasti lebih menarik. Lagipun momentum pun bagus sebab orang tengah bercakap mengenai saya.

“Tetapi, sekarang apabila sudah senyap dan perlahan, saya terpaksa mencari strategi baru untuk memasarkan lagu baru nanti.

“Inilah nasib sekiranya bergantung kepada label. Saya tak boleh bercakap lebih. Apa boleh dilakukan bertahan dan bersabar dahulu. Semoga ada yang terbaik untuk saya,” katanya.

Menurut Andi, dia tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana percaya kepada kredibiliti syarikat rakaman.

Malah, apa yang penting sekarang juga pihak syarikat rakaman sedang mengumpul material untuk lagu baru dan sesuai dengan trend muzik sekarang.

“Sejujurnya, kalau nak bercakap soal kesal, ada juga terbit perasaan ini. Bukan apa, saya berusaha dan bekerja keras untuk naikkan nama sendiri. Ia bukan mudah.

“Pada awal kemunculan orang tak kenal pun saya walaupun muncul dengan single. Sampai satu tahap apabila lagu Tak Tun Tuang tular, orang mulai mengenali saya. Pergi mana-mana orang kenal dan tahu. Namun, peluang yang ada tidak digunakan sebaiknya,” katanya.

Pun begitu, Andi tetap bersyukur yang mana tawaran membuat persembahan tidak pernah putus.

Andi berkata, dia juga sedia untuk melebarkan sayap dalam bidang lakonan kerana ingin mencuba sesuatu yang baru.

“Alhamdulillah, walaupun tidak ada lagu baru saya masih dapat tawaran membuat persembahan. Terbaru, saya turut dipilih terbabit dalam program temu duga terbuka Skim Latihan 1Malaysia peringkat Negeri Sabah 2018 pada 17 dan 18 Mac ini. Artis lain seperti Stacy, Marsha, Faizal Tahir, Kumpulan Zero, Ara Johari dan Farish Aziz.

“Dalam masa sama, kalau ada tawaran berlakon saya okey untuk mencuba. Ada juga yang bertanya dan memanggil saya untuk menghadiri uji bakat. Bagi saya sekarang, mana peluang yang ada saya ambil dan gunakan sebaik mungkin.

“Saya tidak mahu berharap pada satu perkara saja. Melainkan jika apa yang dibuat sekarang berjaya dan menunjukkan hasil, baru saya fokus satu bidang dahulu,” katanya.
Andi cari strategi baru Andi cari strategi baru Reviewed by Kakigosip on 06:32:00 Rating: 5
Powered by Blogger.