Aiman terkejut kena tampar

PENYANYI Aiman Tino membuka lembaran baru dalam kerjaya seninya apabila mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan apabila membintangi musim terbaru drama komedi popular, Mak Cun.

Aiman sebelum ini pernah beberapa kali menolak tawaran berlakon kerana sibuk dengan jadual kerjanya dalam bidang nyanyian.

Bagaimanapun, tawaran daripada pengarah Erma Fatima datang tepat pada masanya apabila penyanyi yang pernah popular dengan lagu Ku Rela Dibenci ini mempunyai ruang untuk berlakon.

“Selain masa, watak yang diberikan kepada Aiman dalam drama Mak Cun ini juga menarik dan sangat sesuai dengan Aiman.

“Jadi Aiman lihat ia sebagai peluang untuk Aiman lakukan benda baru dan berjinak-jinak dengan dunia lakonan yang sebenarnya dah lama Aiman nak buat tetapi tak dapat  kerana sibuk dengan nyanyian.

“Aiman rasa best sangat berlakon terutamanya selepas muncul sebagai artis undangan untuk program Bintang Bersama Bintang baru-baru ini yang membuatkan keinginan untuk berlakon tu lagi terasa,” jelas Aiman.

Berkongsi pengalamannya sepanjang penggambaran drama Mak Cun, kata Aiman dia sangat bernasib baik kerana berpeluang untuk bergandingan dengan pelakon-pelakon lain yang telah berpengalaman.


“Paling tak dapat lupa bila Aiman kena tampar dengan Kak Baby (Fazlina Ahmad Daud) sebab dia nak bagi mood pada Aiman untuk rasa perasaan marah dan menangis dalam masa yang sama.

“Masa kena tampar itu, Aiman memang terkejut sebab dia tak beritahu tujuan dia nak bagi mood.  Selepas tu baru Aiman faham bila Kak Baby datang peluk Aiman dan minta maaf beritahu dia tolong Aiman dapatkan mood sebab memang dari awal Aiman asyik cakap tak boleh menangis.

“Apa yang boleh Aiman katakan, pelakon dalam Mak Cun ni semua bagus-bagus dan mereka sangat sporting dan suka bantu pelakon-pelakon baru macam Aiman untuk buat yang terbaik,” ujar Aiman kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan lain, Aiman bakal tampil acara larian Mask Run 2018 yang bakal berlangsung di Dataran Merdeka pada 15 April depan.

“Kalau diikutkan Aiman hanya terlibat untuk buat persembahan sahaja untuk acara ini, tetapi dah alang-alang berada di sana, Aiman rasa nak sertai acara larian sekali.

“Jadi kalau ada yang nak berlari bersama-sama dengan Aiman, boleh datang ramai-ramai untuk sokong acara ini yang terbuka kepada semua termasuk mereka yang kurang upaya,” kata Aiman yang kini sibuk mempromosikan single terbarunya, Ku Sesat Dalam Rindu.
Aiman terkejut kena tampar Aiman terkejut kena tampar Reviewed by Kakigosip on 05:06:00 Rating: 5
Powered by Blogger.