Why Don't We teruja

Kian popular, boyband terbaru dari Amerika Syarikat yang menggelarkankan mereka Why Don’t We nampaknya terus mencuri perhatian bukan sahaja peminat bahkan penerbit muzik tersohor.

Dianggotai Jonah Marais, Corbyn Besson, Daniel Seavey, Jack Avery dan Zach Herron, hala tuju kumpulan anak muda itu semakin jelas. Apatah lagi dengan beberapa lagu hit yang sedang mendaki carta hebat, kanvas seni mereka semakin berwarna.

Kini mereka teruja apabila single terbaru, Trust Fund Baby mendapat sentuhan pemuzik dan penyanyi hebat, Ed Sheeran.

Dilancarkan pada minggu lalu, lagu itu mudah melekat di hati pendengar berikutan melodinya yang hebat. Ternyata, Ed Sheeran berjaya mencipta magis untuk kumpulan itu.

Berkongsi keterujaan mengenai Trust Fund Baby baru-baru ini, anggotanya Daniel mengakui karya itu ialah yang terbaik buat mereka setakat ini.

“Ini adalah lagu yang paling kami banggakan setakat ini. Maklumlah, ia ciptaan anak seni yang ramai sedia maklum kehebatannya,” katanya.

Umpama bulan jatuh ke riba, mereka menyifatkan peluang itu bukan datang selalu dan sangat bersyukur dapat bekerja dengan raja pop dari United Kingdom (UK) itu.

“Kami sangat gembira dapat bekerja dengan penerbit Steve Mac dan Ed Sheeran yang bernaung di bawah label sama dengan kami.

“Ketika rakaman, kami curahkan segalanya dan ia detik paling indah dalam karier kami,” katanya.

Selesa membuat rakaman dalam studio rumah sewaktu menghasilkan EP mereka berjudul Only the Beginning pada 2017 dan Invitation (2017), mereka beralih ke studio sebenar serta dipertemukan dengan Ed Sheeran.

Meskipun fasa peralihan itu berlaku secara drastik, mereka tidak rasa tertekan sebaliknya menganggap ia sebagai pengalaman sangat berharga.

Paling bermakna menurut Daniel, mereka dapat belajar banyak perkara daripada Ed yang dianggap sebagai pemuzik luar biasa.

“Dia sangat baik hati, otaknya geliga dan bagaikan ‘dewa’. Melihat kesungguhannya ketika bekerja dan sikapnya yang kekal merendah diri walaupun sudah menang anugerah, dia benar-benar mengagumkan.

“Ikutkan dia sudah boleh goyang kaki tetapi memilih untuk menghasilkan muzik seumur hidup,” katanya.

Perkembangan lain, kumpulan ini sedang menyiapkan album penuh yang bakal dilancarkan tahun ini dan bakal memulakan siri jelajah Invitation Tour pada 27 Februari ini.
Why Don't We teruja Why Don't We teruja Reviewed by Kakigosip on 00:32:00 Rating: 5
Powered by Blogger.