Umpama bulan jatuh ke riba

Siapa sangka impian penyanyi Yuka Kharisma untuk tampil dalam persembahan mega bersama dua idolanya, Bunga Citra Lestari dan Anuar Zain bakal menjadi kenyataan.

Yuka yang berasal dari Indonesia akan beraksi di pentas BCL, Anuar Zain & Yuka Kharisma Live in Concert, di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 April ini.

“Ini adalah impian saya dan alhamdulillah, akan direalisasikan tak lama lagi. Saya sudah lama teringin berkongsi pentas dengan dua figura hebat ini,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Ku Bersedia itu, dia sememangnya mengagumi bakat kedua-dua penyanyi itu.

“Bunga Citra Lestari atau BCL antara idola saya di Indonesia. Dia ada ramai pengikut baik di Indonesia mahu pun Malaysia.



“Anuar Zain pula ikon di persada muzik Malaysia. Tentunya, saya membesar dengan lagu-lagunya dan apabila dapat peluang berkongsi pentas, ia umpama bulan jatuh ke riba,” katanya.

Menurut Yuka, konsert berskala besar anjuran syarikatnya, Kharisma Entertainment itu dirancang sejak tahun lalu.

“Pada Disember tahun lalu, pengurusan mula menghubungi artis dan tak perlu menunggu lama, mereka bersetuju.

“Pemilihan artis saya buat sendiri. Dari segi teknikal, suami saya uruskan kerana dia ada pengalaman dalam bidang itu,” katanya.

Ditanya mengenai perjalanan konsert berdurasi dua jam itu, Yuka berkata, dia akan mempersembahkan lapan hingga sembilan lagu.

“Mungkin tak ramai tahu lagu saya, jadi saya akan selitkan juga lagu saduran daripada penyanyi popular antaranya, Search.

“Selain itu, saya juga akan berduet dengan Abang Anuar dan BCL. Insya-Allah, akan ada kejutan buat penonton,” katanya.

Walaupun namanya tidak segah penyanyi lain namun, keupayaannya dalam bidang muzik diakui Anuar Zain.

“Alhamdulillah. Pujian daripada abang Anuar itu saya jadikan penyuntik semangat untuk melakukan lebih baik,” katanya.

Selain mempromosikan konsert itu Yuka turut melancarkan album sulung yang memuatkan lapan lagu.

“Album ini sebenarnya dirakam beberapa tahun lalu namun baru kini saya berkesempatan untuk menyiapkannya, sekali gus dilancarkan.

“Dalam lagu ini, ada beberapa konsep lagu yang saya gabungkan. Ada rentak perlahan dan ada juga lagu rancak,” katanya.

Tambah Yuka, berada di bawah label sendiri memudahkannya membuat keputusan untuk kerjaya seni.

“Mungkin dari satu sudut, berada di bawah label sendiri membuatkan kerjaya saya sedikit perlahan berbanding artis yang bernaung di bawah label lain.

“Namun, apabila bernaung di bawah label sendiri, mudah untuk saya membuat keputusan dan tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri,” katanya.

Bagi peminat Yuka, Anuar Zain dan Bunga Citra Lestari, tiket konsert trio itu ditawarkan kepada penonton iaitu Intimate (RM2,199), Platinum (RM1,599), Diamond (RM588), Gold (RM488), Silver (RM388), Bronze (RM288) dan Regular (RM188).
Umpama bulan jatuh ke riba Umpama bulan jatuh ke riba Reviewed by Kakigosip on 05:37:00 Rating: 5
Powered by Blogger.